Bab 2
Mendung hitam melitupi ruang Pekan Air Hitam. Rintik hujan gerimis mula menjamah buminya. Beberapa peniaga Pasar Minggu yang diadakan setiap hari Ahad di pekan itu mula diulit gelisah. Hujan adalah rahmat namun hujan juga bakal menyekat pintu rezeki mereka. Di dalam suasana remang mendung seorang wanita tua berumur lingkungan 60 an sedang berdiri di muka pintu. Sesekali kepalanya menjengah melalui tingkap yang terkuak ke halaman. Wajah tuanya diulit kebimbangan. Rambutnya yang putih penuh uban sesekali terbuai-buai dihembus angin waktu dia menjengah ke luar jendela. “ Mana pulak budak bertuah ni kata sampai pukul empat, dah pukul enam setengah tak muncul-muncul lagi “ Nek Mah itu bersunggut sendirian. “ Apa yang dibebelkan tu mak, tak nampak hari dah gelap ni, kilat tu, masuklah…hish..orang tua ni tak reti-reti “ Satu suara garau menegur. “ Aku menunggu si Suraya ni, katanya balik pukul empat tapi tak sampai-sampai lagi, aku bimbang Sin…pergilah kau jenguk kat stesen bas tu “ “ Alah mak ni , bukannya budak kecik pun, dah tua dah pandai mengatal biarlah dia, tak balik lagi bagus menyusahkan orang aje “ Ibu tua itu dibiarkan termanggu sendirian.
Husin dan isterinya Kartina memang tidak senang dengan kehadiran Suraya di rumah mereka. Namun mereka tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa menerima kehadiran anak saudara yang kehilangan ibubapa kerana nahas jalan raya ketika usia Suraya sembilan tahun . Kehadiran Suraya anak tunggal abang sulungnya itu merupakan beban bagi keluarganya. Kerana selain Suraya dia turut menanggung ibunya yang sudah tua dan anak-anaknya sendiri seramai tiga orang. Tambahan kedua orang tua Suraya tidak meninggalkan sebarang harta. Bagi mereka Suraya merupakan beban yang terpaksa ditanggung.Justeru tidak hairanlah jika Suraya mendapat layanan buruk dari mereka anak beranak. Hanya Nek Mah sahajalah tempat Suraya bermanja. Suraya berlari-lari anak menyeberangi jalan raya. Hujan renyai tidak langsung dihiraukannya dia mahu cepat sampai kerana bimbangkan neneknya risau dengan kelewatan yang bukan salahnya. Hujan lebat di dalam perjalanan memaksa pemandu bas memandu dengan perlahan hingga lewat dua jam dari jadual perjalanan.
Suraya terus menyusur di hadapan kedai-kedai lama di Pekan Koboi itu.Kebanyakan kedai-kedai ditutup sempena hari minggu. Memang itulah kebiasaannya hanya bahagian pekan di sebelah utara sahaja yang beroperasi, kerana di bahagian itu terletak perhentian bas transit dan gerai-gerai menjual tembikar yang biasa dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Suatu ketika dulu pekan Air Hitam amat popular dan sibuk namun apabila terbinanya Lebuh raya Utara Selatan maka kesibukkan di pekan itu agak berkurangan. Namun begitu pekan Air Hitam tetap popular dan masih setia dikunjungi oleh para pelancong. Suraya mempercepatkan langkahnya menuju ke kediaman bapa sudaranya yang terletak di kawasan Bukit Masjid. Dia terpaksa mendaki bukit yang agak tinggi untuk sampai ke rumah itu. Sungguhpun telah terbina tangga tapi terasa letih yang amat sangat untuk mendakinya. “ Su ! “ Pantas Suraya menoleh ke arah suara yang memanggil. “Hah, kau Jamal nak apa ?“ Malas dia hendak melayan lelaki yang suka menganggu itu. Jamal tersengih-sengih menghampiri Suraya. “ Wah ! berbeg besar ni dari mana, Nek Mah kata kau cari kerja kat KL betul ke ?” “ Kalau dah nenek aku yang cakap betullah tu. “ Acuh tak acuh saja jawapan yang diberi. “ Dapat ke ? “ Jamal mengosok-gosok hidung dan tersengih lagi menampakkan giginya yang hitam berkarat akibat terlalu banyak merokok. Suraya merasa mual melihat senyuman Jamal. “ Tak tau lagi “ Pantas sahaja Suraya menghayun langkah ingin berlalu. “ Eh, nantilah aku belum habis cakap lagi “ Langkah Suraya dihalang. Memang dasar manusia tak faham bahasa. Takkan tak perasaan orang tak suka… “ Aku nak cepat nanti pak cik aku marah “
Langkah diteruskan tanpa menghiraukan jeritan Jamal yang bertalu-talu memanggil.Suraya tiba di rumah dalam keadaan separuh lencun. Dilihatnya pintu dan tingkap sudah Bertutup rapat.” Aku pasti kena marah “ Bisiknya. “ Assalamualaikum, Nek, Su balik buka pintu Nek “ Seketika daun pintu terkuak.Muncul wajah bengis pak ciknya. “ Balik rupanya, aku ingat kau tak balik lagi, buat apa balik duduk ajelah kat KL tu, aku lagi suka kalau kau tak balik ke rumah aku ni tau tak “ Bagai sembilu menghiris hati mendengar hamburan kata-kata kesat dari mulut pak ciknya. Suraya tunduk sambil mengiggil kesejukkan di luar rumah. Perutnya berkeroncong minta diisi. Ini bukan kali pertama dia menerima kata-kata kesat begitu. Seumur dia hidup menumpang di situ memang itulah makanan halwa telinganya. Adakala Suraya seperti robot yang mendengar sahaja caci maki tanpa perasaan. Ruang hatinya sudah penuh dengan penghinaan. Nak diikutkan sudah tidak tertanggung lagi jiwanya. Tapi kakinya seperti dirantai. Dia belum mampu melawan. “ Sudah kau jangan mengada-ngada nak cari kerja di KL tu, minggu depan aku nak nikahkan kau dengan si Jamal anak orang kaya Sarip” Bagai petir menyambar Suraya hampir terduduk di depan pintu. Wajah karat Jamal menerpa di ruang mata. Bukan setakat wajah sahaja berkarat, perangai nauzubillah… “ Aku tak peduli kau suka atau tidak kau mesti kahwin, aku dah penat bela kau lebih baik aku jual kau pada anak orang kaya tu, pulang modal juga aku” Selamba Husin menuturkan ayat-ayat durjana yang menghiris tangkai hati Suraya. “ Suraya tak mau pak cik, Suraya janji bila Suraya dapat kerja nanti Suraya akan pulang balik duit pak cik yang pak cik belanjakan untuk Suraya selama ni “ Suraya tidak dapat menahan sebak dengan linangan air mata dia merayu. “ Kau ingat berapa puluh ribu gaji kau nanti, jangan nak beranganlah nasib baik aku kahwinkan kau dengan anak orang kaya tau, aku tak humban kau ke rumah pelacur pun dah cukup baik “ “ Pak cik !”
Husin meninggalkan Suraya bersama titisan hujan dan linangan air mata. Nek Mah hanya mampu mengalirkan air mata mendengar cacian Husin terhadap Suraya. Hatinya belas tidak terhingga namun apakan daya dia sudah tidak berupaya melindungi Suraya. Kudrat tuanya sudah tidak mampu melindungi Suraya dari kekejaman Husin. Kata-katanya umpama sampah. Tidak pernah dihiraukan oleh Husin sekeluarga. Nek Mah dan Suraya tidak ubah seperti melukut di tepian gantang. Nek Mah memanjat doa ke hadrat Illahi agar Suraya segera lepas dari cengkaman kejam Husin. Cuma itu sahaja yang mampu dilakukannya. Suraya duduk sebentar di muka pintu melepas penat. Seharian dia membuat kerja- kerja rumah. Seawal pagi tadi membasuh kain baju, menyediakan sarapan, menyapu laman dan sekarang baru selesai mengemas ruang tamu yang sentiasa berselerak. Perutnya terasa lapar namun dia takut untuk menjamah makanan, bimbang Mak ciknya marah. Selagi hari belum petang jangan harap dia dapat makan. Itulah peraturan di rumah besar ini. Namun peraturan itu hanya diperuntukkan untuk Suraya sahaja sedangkan yang lain bebas berbuat sesuka hati. Ada ketikanya Suraya terfikir macam mana dia boleh tahan selama bertahun-tahun diperlakukan sebegitu. “ Kenapa aku tak punya kekuatan untuk bangun menentukan hidup aku sendiri…” Nafas dihela. Suraya ke dapur. Sudah waktu masak. Jika terlewat mengaumlah singa betina nanti… Ketiga – tiga anak dara Mak ciknya masih berdengkur di dalam bilik. Matahari sudah hampir terpacak di atas kepala namun mereka masih lena diulit mimpi. Hanya
Suraya yang berhempas pulas seorang diri menguruskan rumah. Suraya tidak duduk percuma di rumah itu. Dia bekerja seperti orang gaji, tanpa gaji. Kadang-kadang Suraya juga hamba abdi mereka.Pantang silap sedikit pasti Suraya dibalun. Menerima caci maki dari ketiga-tiga anak dara Husin, sudah jadi perkara biasa. Suraya tidak mempunyai pilihan lain. Di situlah dia menumpang hidup. Walau menderita dan terseksa Suraya tetap tinggal di rumah itu. Ikutkan hati mahu sahaja dia pergi meninggalkan neraka itu. Tetapi kasih sayang terhadap Nek Mah membenamkan hasrat Suraya. Dia di situ kerana Nek Mah. Bagi mencapai cita-citanya untuk mendapat perkerjaan yang lebih baik dia secara sembunyi-sembunyi telah melanjutkan pelajaran melalui sistem jarak jauh tanpa diketahui oleh sesiapa pun. Begitu sukarnya Suraya melalui detik-detik itu kerana segalanya terpaksa dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Bayangkanlah buku-buku rujukkan pun terpaksa disorok di bawah katil. Hendak belajar terpaksa menanti lewat malam, itu pun belajar di bawah selimut dengan cahaya lampu picit. Tetapi semua itu ujian Tuhan. Suraya melaluinya dengan tabah. Selagi Nek Mah ada, dialah pemberi semangat. Kini Suraya berjaya mengenggam segulung Diploma. Niatnya apabila berjaya mendapatkan perkerjaan kelak dia mahu membawa Nek Mah keluar dari rumah itu dan tinggal bersamanya di tempat lain. Walau di mana pun dia akan tinggal Nek Mah tetap akan dibawanya bersama.
Setiap hari Suraya menanti kehadiran Posmen di muka pintu. Namun penantian dan harapannya sia-sia. Tidak ada sepucuk surat pun untuknya. “ Carilah kerja apa-apa Suraya , dari kau duduk sepanjang hari kat rumah neraka tu lebih baik kau cari kerja. “ Nasihat Ita teman sepersekolahan yang kini telah mempunyai dua orang cahaya mata disambut oleh keluhan oleh Suraya. “ Kilang banyak mohon ajelah dulu. “ “ Bukan aku tak nak Ta…tapi kau tau ajelah pak cik dengan mak cik aku tu bertuah kalau diizinkan , dulu aku kerja sekejap disuruh berhenti, katanya aku cuma nak mengatal bukan nak kerja ” “ Susahlah kalau macam tu, jadi ke kau nak dinikahkan dengan Jamal ?” Suraya menoleh ke wajah Ita. Pandangannya berbaur sayu. Hatinya pedih bagai dihiris-hiris mendengar pertanyaan Ita . “ Aku tak tau nak buat apa, aku rasa nak lari aje “ Airmata mula menitis. “ Lari ajelah Suraya pergi jauh dari sini. “ Ita memeluk bahu Suraya. “ Aku tak sampai hati nak tinggalkan nenek aku.” “ Itulah kau, lemah sangat Nek Mah tak apa-apa kau tu yang merana duduk di sini “ Ita bersungguh-sungguh memberi semangat kepada Suraya yang terlalu takut untuk bertindak. Rasa simpati terhadap penderitaan Suraya membuatkan dia selalu menghasut agar Suraya lari sahaja tinggalkan rumah neraka itu. “ Aku takut menderhaka pada pakcik aku Ita, lagipun selama ni dia yang tanggung hidup aku “ “ Tapi sampai bila kau nak jadi hamba dia, aku nasihatkan kau supaya pergi dan lari aje, bukan aku mengajar kau jadi jahat tapi untuk masa depan kau Suraya, kau sanggup ke jadi bini si Jamal tu, silap-silap haribulan kau nanti dijualnya… “ Berhari-hari Suraya memikirkan kata-kata dan cadangan Ita. Namun ketakutan dan kebimbangan masih terus menghantui dirinya. Sedangkan pakciknya sudah semakin pasti untuk menjodohkannya dengan Jamal. Suraya menangis, dia berdoa agar tuhan mengurniakan jalan keluar untuknya. Suraya tidak mahu menjadi isteri Jamal. Dan dia tidak akan pernah mahu. Jika dia terpaksa memilih mati, pasti Suraya sanggup itu lebih baik.
Bab 3
Datin Marini melangkah pantas diekori oleh Nizam yang terkejar-kejar di belakang. Pintu bilik pejabat serba mewah miliknya di tolak. Dia menarik kerusi empuk lalu duduk sambil tangannya menyelak-yelak lembaran fail di atas meja. “ I want her ! “ Fail diunjuk kepada Nizam. Seketika dahi Nizam berkerut. “ Datin pasti ke ?” Datin Marini mendongak memandang Nizam. “ Kenapa ?” Nizam serba-salah dengan pertanyaan itu. Pertanyaan dijawab dengan pertanyaan. “ Setahu saya dia tidak pernah ada pengalaman kerja, bukankah buang masa saja untuk melatih dia Datin “ Datin Marini kembali menatap helaian kertas kerja di atas mejanya. Dia tidak peduli asalkan rindunya terubat. “ It’s okey Nizam saya yang akan melatih dia, bukan awak… “ Kata-kata Datin Marini muktamad. Nizam menarik nafas lalu meminta diri. Dia keluar dari bilik Datin Marini. Matanya merenung gambar kecil bersaiz pasport yang terlekat di resume. Opps…! Hampir-hampir dia melanggar bucu meja. “ Boleh tahan cantik budak ni. “ “ Tapi melepaslah Melisa, melepaslah aku...” Geram dengan keputusan Datin Marini, dia mengetap bibir. Mentang-mentanglah dia bos…Janjinya pada Melisa untuk menyokong permohonan gadis idamannya itu tak tercapai. Segala angannya untuk memikat Melisa pun punah begitu sahaja. Pasti gadis seksi yang diidam-idamkan akan terlepas dari genggamannya.
Tiba-tiba fail di tangan bertaburan jatuh apabila disenggol seseorang. Baru sahaja Nizam hendak membuka mulut untuk menyumpah , namun niatnya terhenti apabila terpandang lelaki di hadapannya yang sedang tunduk mengutip lembaran kertas yang berterabur. “ Sorry .“ Nizam tersengih-sengih. Fail yang berterabur diserah semula. “ Datin ada ?” “ Ada di dalam, silakan “ Lelaki itu berlalu meninggalkan Nizam yang akhirnya menjuihkan bibir tanda meluat. Dia sedikit iri dengan perwatakan serta penampilan lelaki tadi. “ Sal, buat surat panggilan untuk awek ni, suruh dia datang kerja minggu depan ” Fail dicampak di hadapan Salbiah salah seorang staf bahagian pengurusan. “ Baik En. Nizam “ Salbiah menjeling. Perasaan menyampah membungkam terhadap si bujang tua itu.
Datin Marini tersentak apabila pintunya biliknya diketuk. Sebentar tadi dia sedang memutar kenangan lalu bersama Fauzana yang pergi meninggalkannya. Pergi tak akan kembali lagi. Satu kenyataan yang masih belum mampu diterimanya hingga saat ini. Bukan menidakkan takdir. Tapi dia terlalu menyayangi Fauzana. Tidak tertanggung rasanya merindui Fauzana. Datin Marini menyeka air mata yang menitis. “ Masuk “ Wajahnya kembali ceria apabila menerima kedatangan tamu yang amat dikasihinya itu. “ Hai, Mummy busy ke ?” Fahmi mengucup manja pipi Datin Marini. “ Adalah sikit, belum dapat pembantu susah juga Mummy nak uruskan sendiri “ Datin Marini senyum memandang anak bujangnya yang kacak.
Wajah Fahmi Saling tak tumpah seperti wajah ayahnya, Azman Santiago Doloress, seorang lelaki keturunan Spanyol yang dikahwininya sejak dua puluh lima tahun lalu. Namun takdir telah memisahkan mereka apabila suami yang dicintai meninggal dunia disebabkan sakit jantung. Fahmi satu-satunya anak lelaki yang mampu mengubat rindu terhadap suaminya. Tambahan pula dia telah kehilangan satu-satunya anak perempuan yang dikasihi. Kini tinggal Fahmi pengarang jiwa Datin Marini. Walau telah bersuami baru namun cinta kepada arwah suaminya tidak pernah padam. “ Masih belum dapat Setiausaha baru? “ “ Baru hantar surat panggilan, minggu depan baru datang kerja “ “ Telefon ajelah suruh dia datang secepat mungkin habis cerita “ Datin Marini tertawa kecil dengan kata-kata anak bujangnya. “ Fahmi ni kalau cakap memang pandai, so... dah siap kemas barang-barang ?” “ Beres Mummy tak bawa banyak bukannya lama setengah tahun aje kalau ikutkan malas Fahmi nak pergi US lagi “ Fahmi mengetuk-getuk meja dengan jarinya. “ Bukan senang nak dapat peluang ni Fahmi pergi ajelah dapat juga pengetahuan lebih, lagi pun bukan senang nak jadi CEO mesti penuhkan dada tu dengan ilmu, bukan setakat ilmu dunia ilmu akhirat juga jangan dilupakan…hidup kita bukan setakat mengejar dunia, akhirat pun kena kejar juga… “ Panjang lebar Datin Marini menasihati anak bujangnya. “ Fahmi risau nak tinggalkan Mummy sendiri, Uncle Karim tu asyik timbulkan masalah aje.” Fahmi menyuarakan kebimbangan terhadap bapa tiri yang tidak disenanginya sejak dari mula lagi. Fahmi memang tidak berkenan dengan perangai Datuk Karim. Dari air mukanya sahaja sudah dapat diagak niat yang tersimpan di hati. Tapi ibu yang disayang sudah suka apa lagi daya dia hendak menghalang. Asalkan ibunya bahagia Fahmi rela merendah hati menerima lelaki itu sebagai bapa tiri.
Fahmi memang jarang sekali bercakap dengan Datuk Karim. Kalau boleh dielak pasti dia mengelak dari bertembung. Bencinya pada Datuk Karim bukan kepalang. Kalau tidak kerana sayangkan Datin Marini, mahu sahaja Fahmi angkat kaki dari situ. “ Don’t worry honey, ALLAH ada tengok aje sejauh mana dia nak kenakan Mummy” Fahmi mengusap kepalanya sendiri sambil mengeluh panjang. “ Kalau dia buat sesuatu yang melampau beritahu Fahmi ,Fahmi balik segera “ Datin Marini senyum. Dia bangga dengan sikap Fahmi yang tegas. Hanya Fahmi yang menjadi sandarannya. Fahmi memang seorang anak dan bakal CEO yang bertanggungjawab. Sifat yang diwarisi dari ayahnya seorang ahli perniagaan yang kaya raya. Datin Marini sedang menghadapi krisis dalam syarikatnya, Datuk Karim bukan sahaja tidak jujur malah kaki perempuan. Datin Marini tertipu dengan penampilan dan keikhlasan pura-pura Datuk Karim selama ini. Mempunyai ramai kroni, mudah baginya merealisasikan niat jahat yang dirancang untuk menjatuhkan Datin Marini dan menyingkirkan wanita itu dari kerusinya sekarang. Keadaan memang tidak begitu berpihak kepada Datin Marini..Budaya rasuah, sogok menyogok sudah menjadi makanan si hidung belang . Sebelum berjaya mendapatkan janda berhias yang kaya raya itu, bukan main baiknya dia. Pijak semut pun tak mati. Begitu baiknya perangai sehingga Datin terpaut. Ditambah dengan kebolehan menguruskan perniagaan besar, terlalu mudah Datuk Karim memasang jarum.
Belum masuk setahun usia perkahwinan, belang Datuk Karim terserlah. Agak terlambat bagi Datin Marini untuk bertindak dan menghalang niat jahat suami barunya itu. Fahmi pula berada di luar negara melanjutkan pelajaran. Ramai kakitangan syarikat yang berpaling tadah, termasuk bekas rakan niaga arwah Datuk Azman. Semuanya gelap mata kerana wang. Setia cuma pada slogan syarikat sahaja, hakikatnya masing-masing mahu kenyang sendiri. Lumrah, manusia dan nafsu. Amat sukar untuk mendidik akal mengawal nafsu. Mudah membiarkan nafsu bermaharaja bertahta menguasai akal.Mahu tak mahu Datin Marini terpaksa bersabar sahaja. Dia berdoa semoga kejujurannya terhadap perniagaan yang diwarisi dari suaminya mendapat sokongan dari pekerjanya yang masih setia, itu pun kalau ada.
Setelah Fahmi berlalu , Datin Marini kembali meneruskan kerjanya. Sambil itu sempat dia memikirkan apa yang bakal terjadi sepeninggalan Fahmi nanti. Setelah kepulangan Fahmi dari luar negara, dialah yang melindungi syarikat. Pihak-pihak yang menentangnya agak gerun dengan Fahmi yang tegas dalam tenang. Fahmi mampu menerajui syarikat walaupun dia hanya berada di belakang ibunya. Fahmi umpama benteng pertahanan bagi Datin Marini. Kali ini Fahmi pergi lagi. Semuanya atas kemahuan Datin. Fahmi harus dimantapkan lagi ilmunya supaya kelak berupaya membina sebuah empayar besar miliknya sendiri. Lagi pula Fahmi masih muda dan masih banyak yang perlu dia pelajari terutama tentang selok belok perniagaan yang penuh politik kotor. Datin Marini menekan-nekan dadanya . Jantungnya terasa sakit yang amat sangat. Helaan nafas terasa payah. Segera dia mengambil ubat dan menelannya. Baru terasa sedikit lega.
Bulan lepas doktor mengesahkan dia mengidap sakit jantung peringkat awal. Tapi kalau tidak dijaga rapi boleh ,mengundang akibat buruk.Dia merahsiakan segalanya dari pengetahuan semua orang termasuk Fahmi sendiri. Dia tidak mahu semua orang hilang keyakinan terhadap dirinya lebih-lebih lagi Fahmi yang akan menyambung pelajarannya ke US. Sungguhpun kedudukkannya umpama retak menanti belah. Harapan masih mengunung agar segalanya kembali ke asal. Agar semua berpihak kepadanya semula. Atau itu mungkin hanya bayangan sahaja. Seketika telefon di meja berdering. Datin Marini membiarkan sahaja. Nafasnya masih turun naik. Dia batuk-batuk kecil dan ganggang telefon diangkat. “ Hello “ “ Hello Datin Marini saya Razak, saya rasa kita perlu berjumpa “ . Datin Marini mengerut kening. “ Tunggu saya di tempat biasa .“ Tegas Datin Marini.Jemarinya mendail nombor telefon bimbit pemandu peribadi. “ Hello, Fuad saya nak keluar sekarang “ “ Baik Datin. “ Datin Marini bergegas keluar tanpa meninggalkan pesan .
Fuad sudah sedia menanti. Pintu kereta dibuka. Segera dia memandu apabila Datin Marini sudah berada di perut kereta. Fuad arif akan tempat yang ingin dituju oleh Datin Marini malah dia juga tahu apa yang sedang diuruskan oleh Datin Marini ketika ini. Fuad yang telah lama berkhidmat untuk Datin Marini dan arwah suaminya agak dipercayai oleh majikannyaitu. Bagi Fuad budi Datin Marini sekeluarga amat besar . Kebaikkan majikannya itu amat disanjung tinggi. Dia tidak pernah kedekut wang ringgit, malah sedia menghulurkan bantuan bila- bila sahaja diperlukan. “ Datin dah makan ubat, dah masanya ni Datin “ Matanya menjeling pada Datin dari cermin pandang belakang .
Fuad tahu mengenai sakit Datin Marini. Kebetulan dialah yang menghantar Datin Marini ke hospital sewaktu Datin Marini rebah. “ Sudah Fuad, tadi terasa juga sakit, tapi sekarang dah lega “ Seketika kereta mewah milik Datin Marini membelok ke sebuah restoran mewah. Datin Marini melangkah keluar dari kereta. Dia menghela nafas. Sesekali rasa ngilu menyucuk- yucuk dada.Dia masuk ke restoran itu sambil diiringi Fuad. Seorang lelaki muda berjaket kulit segera menghampiri mereka. “ Selamat tengah hari Datin sila duduk “ Fuad berdiri di belakang Datin. Hatinya bimbang jika ada perkhabaran yang bakal mengundang sakit jantung Datin kembali menyerang. “ Apa yang awak dapat Razak ? “ Razak segera mengeluarkan sesuatu dari sekeping sampul surat besar berwarna kuning. Beberapa keping gambar diunjukkannya . Satu demi satu Datin menbelek gambar-gambar itu. Gambar-gambar Datuk Karim bersama perempuan simpanannya.
Ternyata benar apa yang didengar dari mulut orang. Dia sengaja mengupah Razak untuk mengintip kegiatan Datuk Karim. Dia mahu setiap dakwaannya mempunyai bukti. Di dalam kereta airmatanya mengalir. Dia terasa begitu bodoh sekali. Kalaulah dulu dia mendengar kata-kata Fahmi tentu semua ini tidak akan terjadi. Dia menyesal bersuamikan lelaki durjana itu yang hanya mahu merampas hartanya. Semenjak dia mengahwini lelaki itu banyak masalah telah dihadapi dalam Syarikat. Ada beberapa pengaliran keluar wang syarikat dengan jumlah yang besar. Pendapatan syarikat terjejas. Banyak aset yang terpaksa dijual untuk membayar hutang bank. Tapi Datin tidak mampu berbuat apa-apa kerana semua dokumen sah dengan tandatangan dia sendiri. Betapa liciknya Datuk Karim mempergunakan statusnya sebagai suami CEO syarikat. Dada Datin semakin sesak kerana kedudukkan Datuk Karim semakin kukuh. Dia semakin mendapat kepercayaan dari ahli-ahli lembaga pengarah syarikat. Redha dan pasrah itulah sahaja yang tinggal buat Datin Marini. Kalau syarikat milik arwah suaminya itu jatuh ke tangan mereka juga, dia bersedia menerima kententuan ALLAH. Dia tidak mahu berputih mata memikirkan masalah itu terus. Dia hanya memerlukan ketenangan untuk meneruskan hidup. Ambillah segalanya kalau itu yang mereka mahu. Hidup ini pun bukan selama mana. Suatu hari pasti semuanya kembali kepada yang Esa.
No comments:
Post a Comment