1
“ Ratih…ngendi
sampeyan..?!”. Berkali-kali Bagas berteriak. Langit yang semakin kelam
menyukarkan langkah Bagas. Denai hutan yang agak tebal semakin gelap.
Rintik-rintik hujan mulai membasahi tubuh Bagas.
Dia berteriak lagi. “ Ratih…!” Tiba-tiba kakinya
tersangkut sesuatu. Bagas menunduk. Dia cuba mengamati benda yang tersangkut di
kakinya. Dadanya berdebar. Seutas rantai emas melekat di ibu jari kakinya.
“ Kalung iki…punya Ratih..” Bagas terus merempuh
denai. Hatinya semakin cuak. Pasti Ratih sudah melewati denai ini. Bagas sampai
di sebuah jeram air terjun. Jantungnya semakin berdebar-debar. Jeram itu
‘angker’. Tempat itu sangat ditakuti oleh penduduk tempatan. Mereka yang datang
ke jeram itu kebanyakkannya tidak pernah kembali lagi. Ada sebuah gua di
tengah-tengah air terjun. Gua ‘Roh Pong’. Bagas meniti batu-batuan jeram. Dia
yakin Ratih berada di dalam gua itu.
“ Bagas..!” Sepantas kilat Bagas menoleh. Wajahnya
bertukar merah. Pantas dia melompat.
“ Anjas..peduli panjenengan..!” Bagas berteriak dia sudah membuka langkah.
Anjas ketawa sinis.
“ Sampeyan nemokake Ratih..?” Anjas bercekak
pinggang sambil berdiri di pintu gua. Bagas semakin berang.
“ Anjas..ngendi Ratih..?” Anjas tidak menjawab
soalan Bagas. Sebuah patung kain yang diikat di angkat ke udara. Anjas ketawa. Sebilah
pisau di tangan kanannya juga dijulang ke udara. Ketawa Anjas semakin galak.
“ Kowe mati..!” Teriaknya menikam patung itu
bertubi-tubi. Suara tawa Anjas bergema ke segenap ruang jeram.
Binatang-binatang hutan ketakutan dan bertempiaran lari.
“ Arghhhh…!” Bagas menekup dadanya. Darah merah
segar memancut keluar dari liang dadanya yang tidak semena-mena terobek. Bagas
terguling-guling kesakitan. Darah yang membuak-buak mengalir membasahi batu
lalu mengalir dibawa arus jeram. Seketika air jeram sudah bertukar menjadi
darah.
“ Kowe mati Bagas…mati..!” Mata pisau yang tajam di
tusuk betul-betul di jantung patung. Bagas menjerit. Seketika kemudian dia diam
tidak bergerak. Hanya suara deruan air terjun yang masih menderu. Beburung juga
sudah mengepak terbang meninggalkan jeram Roh Pong. Tubuh Bagas yang sudah kaku
diangkat dan dibawa masuk ke dalam gua. Rantai emas kepunyaan Ratih yang
digenggam Bagas direntap. Rantai yang berlmuran darah itu dimasukkan ke dalam
saku.
“ Ratih..! iki katresnan panjenengan..!” Anjas
mencampak mayat Bagas di dalam lubang.
“ Loro sing mati…hahaha…mati…!” Anjas ketawa dan
keluar meninggalkan Gua itu. Suasana sunyi kembali. Deruan air terjun terdengar
sayup-sayup. Dalam cahaya samar-samar, sekujur tubuh cuba bangkit dengan payah.
Bisa yang menusuk di perutnya tidak dihiraukan. Tangannya menekup perut. Menahan
segala isi perutnya yang sudah terburai itu.
“ Ba..Bagasss…” Ratih memeluk sekujur mayat
kekasihnya yang sudah kaku. Dia sudah tidak berdaya untuk menangis. Tiada air
mata lagi hanya darah yang mengalir mengantikan air mata.
“ Bagas…aku sumpah tresnaku…aku bakal tangi maneh
kanggo nyawiji katresnan kita..aku sumpah..!” Itu jeritan terakhir Ratih. Kemudian
Gua Roh Pong senyap kembali. Bagaikan puas dengan korban dua kekasih. Bagaikan puas dapat menghirup darah,
meratah dan memamah dua tubuh satu cinta yang teraniaya. Puas…sepuasnya.
2
Puteri
tersentak. Tidur pulasya terganggu dek deringan alarm clock di telefon
bimbitnya. Secepat kilat button off ditekannya. Azan subuh baru sahaja tamat.
Puteri menyingkap gebar tebal yang menyelimuti sebahagian tubuhnya. Dia bangkit
mengeliat. Bau harum tiba-tiba menyapa deria hidunya. Matanya melingas
mencari-cari punca bau haruman itu. Seketika matanya melekat pada sesuatu di
tepi bantal. Puteri tergamam.
“ Macam mana bunga ni
boleh ada kat sini…” Perlahan dicapainya sekuntum bunga melur yang elok terletak
di tepi bantalnya. Bunga melur segar itu diciumnya. Harum…tiba-tiba bulu roma
Puteri meremang. Secepat kilat bunga melur di campak ke lantai. Puteri
memandang keliling. Namun tiada apa yang mencurigakan. Pantas dia bangkit membuka
daun jendela. Bunga melur yang harum mewangi dicampak ke luar jendela, melayang
jatuh ke bawah.
“ Zah..kau ada masuk
bilik aku tak malam tadi…?” Izah yang sedang menyuap mee goreng ke mulutnya
mengeleng.
“ Kenapa..?”
“ Betul tak ada..?”
“ Betul…kenapa ni..?”
Izah memandang tepat ke wajah Puteri. Diamati seketika wajah teman serumahnya itu.
“ Kau buat facial ke
semalam...?” Soalan diajukan bila dilihatnya ada perubahan di wajah Puteri.
Kulit muka Puteri nampak bersih berseri. Puteri ketawa.
“ Mana aku ada masa nak
facial Zah..” Secawan kopi kapal api kegemarannya dituang dan dihirup penuh
nikmat. Izah mengamati wajah Puteri. Matanya seakan tidak mahu berganjak. Wajah
Puteri benar-benar berbeza. Lebih cerah, cantik dan ayu.
“ Zah..!” Izah
tersentak. Puteri bergegas bangkit mencapai beg dan kunci kereta.
“ Aku balik lambat hari
ni…” Izah mengangguk. Menghantar Puteri hingga ke pintu dengan pandangan
matanya. Izah termenung seketika setelah Puteri lenyap dari pandangan. Tergerak
hatinya mahu menjenguk ke bilik teman serumahnya itu. Dia ingin memastikan
produk kecantikkan apa yang Puteri gunakan sehingga wajahnya cantik jelita
begitu. Pintu bilik Puteri dikuak. Bau harum semerbak menyapa hidung Izah. “
Perfume apa Puteri pakai ni…macam bau bunga je…” Izah berbisik sendiri. Almari
solek Puteri dibeleknya. Mencari-cari produk kecantikkan milik puteri. Selain
Safi Rania, tiada pula produk lain di situ. Tiba-tiba mata Izah terpaku. Kuntum-kuntum bunga melur berterabur di atas
katil Puteri. Izah pelik. “ Dari mana Puteri dapat bunga-bunga ni…” Bula roma
Izah mula meremang. Cepat-cepat dia keluar.
Puteri sedikit hairan.
Sejak dia tiba di studio tadi ramai teman-teman memuji perubahan kulit
wajahnya. Ada yang kata Puteri kelihatan lebih cantik dari semalam.
“ Mungkin sebab hari ni
birthday aku kut…” Puteri berseloroh.
“ Happy birthday
Puteri…yang ke berapa ni…?” Puteri tersengih menampakkan barisan giginya yang cantik.
Azri seakan terpukau dengan senyuman Puteri. Gadis itu selama ini hanya
kelihatan biasa-biasa sahaja. Dia tidak begitu mendapat perhatian di kalangan
teman-teman lelaki di studio itu.Tambahan pula kerjaya Puteri sebagai jurufoto
tidak menuntut dia bergaya anggun seperti teman-teman perempuan lain. Namun
hari ini mata Azri terpukau. Seperti magnet matanya terus melekat ke wajah ayu
Puteri.
“ Birthday aku yang ke
seribu…” Seloroh Puteri lagi.
Azri ketawa. “ Panjang
umur kau ya…masih cantik…ilmu apa kau pakai…?” Puteri melirik. Alis matanya
yang lentik mendebarkan dada Azri. Senyuman bermain di bibir Puteri.
“ Ilmu itu hanya ada di
sebalik deruan air terjun..di mana di situ aku bersemadi…” Azri terkedu.
Jawapan yang keluar dari mulut Puteri seakan membaca skrip.
“ Apa kau cakap
Puteri…?”
“ Hah..apa, aku tak
cakap apa-apa pun..” Selamba Puteri menjawab. Dia bangun menuju ke bilik studio
meninggalkan Azri yang temanggu-manggu. Puteri membuat persediaan untuk seisi
foto shoot beberapa model dari Jakarta. Tugasan kali ini memerlukan seisi
pengambaran di luar dan di dalam studio. Selesai pengambaraan di dalam studio,
Puteri akan berangkat ke beberapa daerah di Indonesia bagi tugasan pengambaraan
di luar studio bersama-sama team model dari Jakarta itu.
“ Hello Puteri…” Ben
menguak pintu studio Puteri. Beberapa orang model mengikutinya.
“ Hai Ben…” Ben
menghampiri Puteri. Hidungnya kembang kempis seperti menghidu sesuatu.
“ Wangilah..you pakai
perfume apa ni... klasiklah baunya…” Puteri ketawa kecil. Ben memperkenalkan
model-model yang di bawanya. Sewaktu bertentang mata dengan salah seorang model
lelaki dari Jakarta itu, Puteri tergamam. Matanya melekat ke wajah tampan
lelaki itu.
“ Hello…aku Rendra…”
Puteri tersentak. Dia malu sendiri. Cepat-cepat dia memperkenalkan diri dan
berlalu untuk memulakan tugas. Ketika memeriksa lensa kamera, Puteri sempat
berbisik. “ Aku rasa aku kenal dia…tapi siapa dia…kat mana aku nampak dia..?”
Puteri membiarkan persoalan itu tergantung tanpa jawapan. Dia harus menjalankan
tugasannya. Seisi foto shoot model-model itu berjalan lancar. Namun ketika
seisi foto terakhir Rendra,
hampir-hampir tercampak kamera di tangannya. Sekujur tubuh Rendra
tiba-tiba berubah sewaktu mata Puteri melekat di kamera. Seorang lelaki berwajahkan
Rendra tetapi berpakaian lengkap seperti pahlawan Jawa berdiri di sebalik
lanser kamera.
“ Arghhh…!” Puteri
terjerit. Semua mata menyorot ke arah Puteri. Jeritan kecil Puteri
memeranjatkan mereka.
“ Are you okey…?”
Rendra menghampiri. Puteri tergamam. Matanya membuntang memandang Rendra di
hadapannya yang berpakaian kasual. Puteri memejamkan matanya. Dia menarik
nafas. “ Ahhh..imaginasi aku je ni…” Bisik Puteri.
“ I am okey…mari kita
sambung semula…” Rendra kembali ke tempatnya. Puteri teragak-agak. Perlahan dia
melihat di belakang lenser. Sekali lagi, jantungnya seakan runtuh. Lelaki
berpakaian Pahlawan Jawa tadi masih di situ. Merenungnya. Puteri mengalihkan
kamera seketika. Rendra yang berpakaian kasual melihat sedikit hairan. Puteri
beristigfar. Dia menarik nafas walaupun nafasnya sedikit tersekat-sekat kerana
terkejut. Dengan lafaz Bismilah, Puteri memberanikan diri melihat Rendra dari
sebalik lanser. Kini Rendra benar-benar berada di situ tanpa dibayangi imej
lelaki misteri tadi.
Selesai seisi fotografi, Puteri duduk termenung di meja kerjanya.
Foto-foto Rendra di kamera dibelek-belek. Tiada yang aneh di foto-foto itu.
Sekujur wajah Rendra ditenungnya. Lelaki berdarah Indo-Belanda itu memang
kacak.
“ He looks familiar to
me, tapi siapa dia..?” Bisik hati Puteri. Puas dicubanya mengingati kalau-kalau
pernah berjumpa dengan Rendra di mana-mana. Namun Puteri tidak ingat langsung
atau mungkin dia sememangnya tidak pernah mengenali Rendra sebelum ini. Puteri terus
diselubungi tanda tanya yang tanpa disedarinya persoalan itu akan membutuhkan
jawapan dari dirinya sendiri.
3
“ Ratih…!” Puteri
termanggu. Dia berdiri di atas batu. Di belakangnya air terjun menderu. Suara
kicauan beburung riang silih berganti.
“ Aku kat mana ni…?”
Bisik Puteri hairan. Suasana hening di air terjun itu. Puteri menapak perlahan
menuruni batu-batuan yang sedikit licin. Sewaktu memijak batu kaki Puteri
tergelincir. Hampir sahaja dia terjatuh ke dalam jeram. Puteri terkejut apabila
tangannya diraih seseorang.
“ Rendra..?” Lelaki itu
tersenyum.
“ Hati-hati Ratih…kamu
bisa jatuh..” Tubuh Puteri ditarik dan didudukkan di atas batu. Mata Puteri
tidak berganjak. Dia terus merenung wajah lelaki itu. Lelaki itu berlalu ke
tebing. Dia memetik sekuntum bunga melur. Dia kembali mendapatkan Puteri. Bunga
melur diselitkan dicelah tocang Puteri. Haruman melur semerbak menerawangi
jeram.
“ Aku kangen sama kamu
Ratih…” Lelaki itu mengelus-gelus lembut pipi Puteri.
“ Kamu siapa…?” Lelaki
itu tersenyum. Matanya terus meratah sekujur wajah Puteri. Tenungannya lembut
penuh kasih. Puteri terbuai seketika.
“ Aku Bagas…” Puteri
terasa tenang mendengar nama itu. Dia mengenggam tangan Bagas. Mata mereka
bertentangan seketika. Perasaan sayang menjalar memenuhi seluruh ruang hati
Puteri. Perasaan yang entah dari mana puncanya. Datangnya secara mendadak, lalu
terus sahaja memenuhi segenap ruang aliran darah dan nafas Puteri.
“ Aku juga kangen sama
kamu Bagas…” Entah kenapa Puteri merasa dia mencintai Bagas. Lelaki misteri
yang tidak pernah dikenalnya sebelum ini.
“ Bagas..!” Asap hitam
menyelubungi. Genggaman Bagas terlepas.
“ Ratih..!”
“ Bagas..!” Puteri
terkapai-kapai di dalam asap hitam. Dia terus memanggil Bagas. Namun tiada apa
yang mampu dilihatnya ketika itu. Hanya kepulan asap.
“
Puteri…Puteri..bangun…” Puteri tersentak. Wajah Izah muncul di sebalik kepulan
asap.
“ Bangun Puteri, kau
mengigau ni…” Izah menepuk-nepuk pipi Puteri. Seketika Puteri terjaga.
Terpisat-pisat.
“ Mana Bagas…?”
“ Apa yang kau merepek
ni Puteri…kau tu mengigau terjerit-jerit..tu lah tidur tak basuh kaki…” Puteri
beristigfar.
“ Kau okey tak ni…?”
Puteri mengangguk. Dia mengerling jam di dinding. Sudah pukul 6:00 pagi. Izah
keluar. Puteri masih duduk di birai katil memikirkan mimpinya tadi.
“ Siapa Bagas…?” Puteri
kebinggungan. Dia hairan mengapa perasaannya terasa dekat dengan lelaki misteri
itu. Puteri kalut. Dia terperangkap dalam satu perasaan yang aneh. Perasaan
rindu pada seseorang yang tidak jelas. Puteri menarik nafas. Sekuntum bunga
melur jatuh betul-betul di hujung kakinya. Puteri mengambil bunga itu.
Diciumnya berkali-kali sambil memejamkan mata. Puteri membayangkan wajah Bagas.
Baru tadi Bagas menyelitkan bunga itu di celah rambutnya. Masih
terngiang-ngiang di cuping telinga bunyi deruan air terjun yang mendamaikan.
“ Puteri..!” Puteri
terkejut. Wajah Izah tersembul di muka pintu. Mata Puteri terbeliak melihat
kuntuman melur di tangannya. Secepat kilat dicampaknya bunga itu. Jantung
Puteri berdegup kencang. “ Dari mana datangnya bunga ni…?” Bisik Puteri
ketakutan. Sepantas kilat dia terjun dari katilnya. Cadarnya dikibas-kibas.
Daun jendela dikuak pantas. Kuntuman melur yang entah dari mana itu dibuang
keluar. Izah memandang kehairanan.
“ Kau dah kenapa…?”
Soal Izah kalut melihat wajah Puteri yang pucat ketakutan. Puteri duduk di
birai katil, nafasnya naik turun tercungap-cungap. Lututnya terasa lemah. Izah
berdiri betul-betul menghadap Puteri.
“ Puteri…kau okey ke
ni..?” Izah merasa cuak melihat Puteri sedemikian rupa. Puteri meraup wajahnya
sambil beristigfar beberapa kali.
“ Tak ada apalah, aku
teringat mimpi tadi je…” Jawapan itu hanya satu pembohongan belaka. Namun dia
tidak mahu menakut-nakutkan Izah. Puteri mencapai tuala. Dia berlagak tenang
sungguhpun ketakutan masih menyelubunginya.
“ Kau nak sarapan
apa…?” Puteri cuba tersenyum. Izah memang sahabat yang baik. Dia tidak pernah
berkira. Malahan Izah rajin memasak. Itu yang membuat Puteri betah tinggal
serumah dengan Izah.
“ Nasi goreng kampung
boleh…?”
“ Okey boleh je…” Balas
Izah berlalu ke dapur.
Puteri menguak pintu
bilik studionya perlahan. Staf-staf lain masih belum sampai. Office hour pukul 9 pagi, tapi Puteri sampai awal untuk
membuat persediaan foto shoot nanti. Puteri menapak perlahan memasuki studio
yang sunyi. Semua prop masih utuh di tempatnya. Puteri memberanikan diri
melihat pentas kecil di mana sesusuk tubuh lelaki misteri yang mirip Rendra
muncul. Pentas itu kaku. Tiada apa-apa yang pelik di situ. Puteri duduk
sebentar. Wajah lelaki itulah yang muncul di dalam mimpinya malam tadi. “
Bagas…” Tanpa disedari melucur sahaja nama itu dari bibir mugil Puteri. Tidak
semena-mena angin sejuk bertiup menerpa wajah Puteri.
“ Puteri…” Puteri
terkejut. Bagas benar-benar muncul dan berdiri di hadapannya. Hampir sahaja
Puteri jatuh kerana terkejut. Matanya membutang. Lututnya mengigil.
“ Ba..Bagas..”
Terketar-ketar bibir Puteri menyebut nama itu.
“ Hey…what’s wrong with
you…aku Rendra bukan Bagas..”
“ Hah..? Rendra…?” Puteri terkedu. Rendra dan Bagas, wajah
mereka seiras. Puteri sedikit binggung. Namun Puteri cuba berlagak biasa.
“ Owhhh..Rendra..kamu
buat saya terkejut, why are you so early..?” Rendra tersenyum. Puteri teringat
pada senyuman Bagas.
“ Aku bawa ini…untuk
kamu..” Rendra mengangkat bungkusan
plastik di tangannya.
“ Untuk saya…apa tu…?”
Puteri mengerutkan kening. Dia tidak menyangka Rendra datang awal dan membawakan
sesuatu untuknya.
“ Nah…kalau di
Indonesia ini namanya nasi uduk…kalau di sini aku tidak tau mau dipanggil apa…”
Pantas tangannya menarik sebuah meja kecil. Dua bungkus nasi lemak dikeluarkan
dari dalam bungkusan tadi. Puteri tergelak.
“ Owhhh…ini nasi lemak,
baiknya kamu…mimpi apa kamu malam tadi sampai belikan saya nasi lemak ni…”
Giliran Rendra pula tergelak. Soalan spontan Puteri dirasakan lucu.
“ Ngak pakai mimpilah,
aku lihat mobil kamu diparkir di depan…jadinya aku tau sih kamu ada di sini,
nah…kebetulan aku lewat di restoran makanya aku langsung beli buat kamu…buat
aku juga soalnya aku belum sarapan ni…so why not you make me some coffee
please…ngak masalahkan…” Rendra mengenyit mata.
“ Owhh…sure why
not…sebentar ya saya buatkan…” Puteri berlalu ke pantry. Rendra senyum meleret.
Entah kenapa sejak semalam dia asyik terfikirkan gadis manis ini. Semalaman
matanya sukar lelap. Bayangan Puteri asyik bermain di ruang matanya. Seperti
ada satu kuasa yang membuatkan dia ingin cepat-cepat bertemu Puteri.
Suasana yang tadinya
hening dan sunyi bertukar ceria. Puteri dan Rendra menikmati nasi lemak sambil
berborak, bertukar-tukar cerita. Beberapa orang staf yang baru datang menjenguk
ke dalam studio bila terdengar suara ketawa dari situ. Beberapa staf perempuan
mencebik bibir. Mereka sedikit iri melihat jejaka Indo-Belanda itu bersama
Puteri. Sejak semalam mereka curi-curi pandang ke arah Rendra. Namun hari ini
Puteri pula yang duduk berborak dengan Rendra. Panas hati mereka melihat sinetron
berbaur mesra itu di depan mata.
“ Hai…Ren, tumben
lu…awal begini sudah nyampai…gua pikir lu masih tidur..” Teman-teman model
Rendra sudah datang semua. Cepat-cepat Puteri berkemas.
“ Morning honey…”
Anggun, model berkaki panjang tunduk cuba mencium pipi Rendra. Namun sempat
Rendra mengelak. Puteri mengerling dari ekor mata. Seketika dirasanya darah
menyirap menyerbu muka. Puteri cepat-cepat berlalu ke pantry. Puteri menarik
nafas. Dia beristigfar. “ Ahhh…lantaklah, yang aku nak sensitive ni
kenapa..bukan pak we aku pun…” Bisik hati Puteri.
Seisi foto shoot hari
itu tidak selancar sebagaimana yang Puteri harapkan. Sungguhpun dia cuba
membuang perasaan cemburu yang tiba-tiba datang itu, namun Puteri gagal
menyingkirkan perasaan itu. Lebih-lebih lagi bila Anggun asyik menempel di sisi
Rendra. Liuk lintuk model berkaki panjang itu membuat Puteri meluat. Ikutkan
hati hendak sahaja dia meludah muka Anggun yang sebenarnya tidaklah secantik
mana itu. “ Muka macam beruk, gedik nak mampos…” Maki Puteri di dalam hati.
No comments:
Post a Comment