bab 4
Suraya melompat gembira apabila mendapat surat yang dinanti-nantikannya selama beberapa hari ini. Tangannya pantas membuka surat itu. Sukacita dimaklumkan permohonan anda telah diterima dan anda diminta untuk datang melaporkan diri pada tarikh 18hb Feb 2012 di tempat dan alamat berikut… “ Yahoo ! aku dapat, aku dapat “ Jerit Suraya kegirangan. “ Apanya tu…Su kenapa ni “ Nek Mah kehairanan. Suraya segera memeluk nenek kesayangannya pipi neneknya dicium bertalu-talu. “ Suraya dah dapat kerja Nek kat KL “ Matanya bulat bercahaya ketika menyampaikan berita gembira itu pada Nek Mah. “ Alhamdullilah, syukur pada ALLAH “ Nek Mah menadah tangan tanda syukur. “ Bila kau nak pergi Su “ Tanya Nek Mah. “ Minggu depan Nek 18 haribulan…” “Suraya ! “ Suraya terkejut mendengar suara makciknya yang telah tercegat di pintu bilik.
Dengan pantas Kartina cuba merampas surat tersebut dari tangan Suraya., namun Suraya mengelak lalu memasukkan surat itu ke dalam anak bajunya. “ Jahanam ! kau ingat aku dengan pakcik kau nak lepaskan kau, jangan harap Suraya, majlis nikah kau dengan anak orang kaya Sarip tu akan tetap berlangsung aku akan pastikan kau kahwin minggu depan “ Kartina berlalu keluar. Suraya menangis hiba sambil bahunya diusap lembut oleh Nek Mah. “ Apa yang Suraya nak buat Nek, Suraya takut “ Dia rasakan kegelapan kembali menyelubungi. Baru sebentar tadi dia bersorak keriangan dan kini dia menangis tersedu- sedu.
Akibat selalu hidup ditekan, Suraya telah menjadi manusia yang kurang berkeyakinan. Dia selalu ketakutan dan tidak mampu membuat keputusan sendiri. Pemergiannya ke KL untuk temuduga tempohari pun pada awalnya tidak diketahui pakciknya. Setelah puas dipujuk oleh Nek Mah Suraya nekad untuk mencuba .Hanya setelah dia pergi barulah Nek Mah memberitahu tujuan sebenar dia ke KL. “ Kali ni Nenek nak Suraya fikirkan, kalau Su terpaksa lari, larilah Su fikirkan masa depan Su, nenek dah tua tak selamanya Suraya boleh mengharapkan nenek , carilah kebebasan sendiri Su, pergilah dari rumah besar yang kejam ni nenek doakan Suraya sentiasa mendapat perlindungan dari ALLAH “ Nek Mah tidak dapat menahan sebak. Pilu hatinya mengenangkan nasib Suraya.
Esoknya pagi-pagi lagi Suraya sudah mendapat penangan dari pakciknya. Puas Suraya merayu agar Husin mengizinkan dia pergi ke KL namun hanya sepakkan dan maki hamun yang diterimanya. Husin tetap berkeras hendak mengahwinkan Suraya dengan Jamal. “ Kau jangan nak cari pasal, aku dah terima duit dari orang kaya Sarip, kalau kau pergi nahas kau ! “ Terduduk Suraya dengan linangan airmata. Hayati anak dara Husin galak mentertawakan Suraya. “ Orang bodoh macam Kak Su ni nak kerja apa kat KL tu, jadi orang gaji ke, tak payahlah Kak Su kerja kat rumah ni berlambak-lambak “ Suraya tersedu-sedu menahan tangis. Nek Mah terketar-ketar bangun, hatinya sakit mendengar kata-kata Hayati. “ Memang kerja kat rumah ni berlambak-lambak sebab kau tu pemalas semua nak harapkan Suraya…” Jari tua Nek Mah menonjol kepala Hayati. “ Apa ni Nek, jangan nak melampau sangat nenek tu pun menumpang kat sini Yati suruh ayah hantar nenek ke rumah Kebajikan baru Nenek tau “ Suraya bingkas bangun sambil mengesat airmatanya. Nek Mah yang tua dipapah masuk ke bilik. Hayati menjuih-juih bibir mengejek.
Malam itu Nek Mah bagai terasa masanya sudah tiba untuk dia pergi menghadap Ilahi. Nafasnya tercungap-cungap. Dalam kepayahan dia mengejutkan Suraya yang sedang lena di sebelahnya. Suraya terpisat-pisat bangun. “ Kenapa Nek , Nenek sakit ? “ Suraya merasa dahi neneknya dengan belakang tangan. Hangat dan peluh memercik halus di dahi neneknya. Terketar-ketar Nek Mah memegang tangan Suraya. “ Su janji dengan Nenek, tinggalkan rumah ni pergilah ke mana aje asalkan Su tinggalkan tempat ni “ Lemah suara Nek Mah menuturkan kata-kata. Suraya mengusap- usap dada Neneknya. “ Suraya tak mau tinggalkan Nenek “ Nek Mah mengelengkan kepala beberapa kali mendengar kata-kata Suraya. “ Nenek tak lama lagi Su, Nenek nak pergi, Su janjilah tinggalkan rumah ni “ Suraya menyeka airmata. “ Kenapa hidup aku penuh duka, apa dosa aku “ Keluhnya dalam hati. Nek Mah meminta segelas air.
Suraya bangkit ke dapur untuk mengambilnya. Suraya kembali semula ke bilik namun nyawa Nek Mah telah pun diambil Allah. Nek Mah kaku . Nek Mah sudah tiada lagi. Peluh halus masih memercik di dahi Nek Mah. Suraya memangil neneknya perlahan. “ Nek airnya Nek “ Suraya lihat mata Nek Mah terpejam rapat. Perlahan diusap dahi Neneknya penuh kasih. Digoyang badan Nek Mah berkali-kali , namun Nek Mah terus kaku tanpa suara. Suraya mula gelisah. “ Kenapa Nenek ni tadi minta air “ Bisiknya perlahan. Dia memberanikan diri menekupkan telinga ke dada Nek Mah. Senyap tanpa degupan. Suraya terperanjat. “ Nenek, Nenek ! “ Jeritnya. Segera dia bangkit menuju bilik Husin. Diketuk pintu bilik pakciknya bertalu-talu. Kedengaran suara memaki hamun dari dalam bilik. Pintu dibuka. “ Kenapa kau ni, gila ketuk pintu aku macam nak pecah “ “ Nenek…Pakcik Nenek “ Suraya menangis tidak mampu untuk meneruskan kata-kata. “ Kenapa ? “ Husin menolak Suraya, mulutnya membebel sambil melangkah menuju ke bilik Nek Mah. “ Mak, Mak, eh ! orang tua ni dah kenapa dipanggil senyap pulak tidur mati ke “ Kutuk Husin tanpa rasa bersalah . Suraya melutut di sisi Neneknya .
Dia sedar Neneknya sudah tidak bernyawa lagi. “ Nenek dah tak ada Pakcik, Nenek dah meninggal “ Ucapnya dalam sendu. “ Apa kau cakap ? “ Husin melekapkan jari ke bawah hidung Nek Mah. Tiada hembusan, matanya beralih ke dada ibunya juga tiada berombak lagi. “ Kenapa bang ? “ Kartina menyoal di muka pintu. “ Mak dah meninggal “ Ucap Husin mendatar. Kartina mengaru-garu kepala. Mukanya kelat. Suraya menangis di kaki Nek Mah. Hilang sudah Nenek tempat bermanja . Pergi sudah dahan tempat Suraya berpaut. Pada siapa Suraya harus mengadu nasib kelak.Suraya semakin dibaluti sayu. Kini dia akan sendirian melalui hari-hari penuh dugaan.
bab 5
Semenjak Nek Mah meninggal, Suraya merasakan hidupnya kosong. Dia seperti patah semangat. Dia hanya menanti apa yang akan ditakdirkan untuknya. Esok hari pernikahannya dengan Jamal. Kata-kata Nek Mah masih terngiang-ngiang di telinga. “ Kau mesti pergi dari sini Su, mesti “ Suraya gelisah. Fikirannya bercelaru. Kata-kata Nek Mah dan Ita sahabat karibnya semakin menyesak di kepala. Surat tawaran kerja yang diterimanya digenggam erat.Tiba-tiba Suraya seperti mendapat satu kekuatan. “ Aku mesti lari “ Suraya bingkas bangun dia mengambil beberapa helai pakaian lalu memasukkan ke dalam beg galas yang sering di bawanya untuk keluar ke mana-mana. Pantas Suraya menyarung sehelai jeans dan T’ shirt ringkas.
Suraya keluar dari biliknya perlahan-lahan. Dia menjeling jam di dinding yang menunjukkan ke pukul lima. “ Kak Su, nak ke mana tu “ Suraya tersentak. Dadanya berderau. Mata Haryati membulat memandang Suraya yang sudah mengalas beg di bahu. Mujurlah beg itu bukan beg pakaian. Suraya mencari-cari idea untuk menipu Haryati. “ Kak Su nak jumpa Jamal, dia telefon tadi ada hal sikit “ Suraya terus melangkah ke muka pintu setenang mungkin. “ Balik cepat sikit, dah nak kahwin pun gatal nak jumpa “ Haryati merungut sambil menjeling Suraya. Suraya lega apabila mendapati Pakcik dan Makciknya tiada di rumah ketika itu. Dia terus berlari ke Pekan. Niatnya ingin menaiki teksi untuk ke Kluang sebuah bandar berhampiran Pekan Air Hitam. Dari sana dia akan menaiki kereta api menuju ke Kuala Lumpur.
Mujur sebuah teksi sedang menanti penumpang ke Kluang. Segera Suraya masuk ke perut teksi. Hatinya lega apabila teksi mula bergerak meninggalkan Pekan Air Hitam yang penuh duka baginya. Suraya bersyukur tiada siapa yang mengenalinya di Stesen Kereta api Kluang. Mudah sahaja dia mendapat tiket kerana jadual perjalanan ke Kuala Lumpur tepat setibanya di Stesen itu. Kini dia sudah berada di dalam kereta api. Suraya memejamkan mata apabila kereta api mula bergerak. Dia membayangkan apa yang terjadi di rumah Pakciknya nanti, apabila mereka menyedari akan kehilangannya. Suraya kecut perut memikirkannya. “ Tapi aku mesti berani menghadapi setiap rintangan, aku mesti berani “ Bisiknya sendiri. Dia berdoa semoga ALLAH akan melindunginya. “ Nek…tolong doakan Su…” Rintih Suraya sayu. Suasana hingar bingar di Stesen kereta api Kuala Lumpur .
Suraya melangkah keluar dari kereta api. Matanya melirik jam di tangan. Hampir pukul sembilan malam. “ Mana aku nak pergi ni, takkan nak tidur kat sini, tengok tu ramai lelaki hidung belang, macam mana ni “ Keluhnya sendirian. Suraya tidak punya duit yang mencukupi untuk menyewa bilik di hotel. “ Esok baru 17 haribulan aku masuk kerja 18 haribulan, mana aku nak tinggal ni “ Suraya mati akal memikirkan tempat tinggal. Akhirnya Suraya mengambil keputusan untuk menuju ke Syarikat yang menawarkan kerja untuknya. Dia berkira-kira untuk melaporkan diri esok . Dia berserah pada ALLAH. Malam ini dia akan bermalam di kaki lima Syarikat berkenaan sementara menanti hari esok.
Datin Marini melirik jam di dinding. Sudah pukul sembilan setengah. Badannya terasa amat letih sekali. Proposal pinjaman bank mesti disiapkan segera. Matanya pedih dia menguap berkali-kali. Dia menutup fail. Segera berkemas. Sebelum keluar dia menutup suis lampu. Fuad yang setia menanti terlelap di sofa empuk. Perlahan Datin Marini mengejutkan Fuad. “ Eh, Datin maaflah tertidur pulak saya” Fuad tersipu-sipu malu apabila menyedari Datin Marini sudah berdiri di hadapannya. “ Tak apa lah, jom balik “ Mereka beriringan keluar. Di pintu utama mereka terserempak dengan Pengawal Keselamatan yang sedang meronda dalam Pejabat. “ Asalamualaikum Datin , lewat balik hari ni “ Tegur Pak Samad. Datin Marini melemparkan senyum. “ Banyak kerja Pak Samad, balik dulu ye “ Balas Datin Marini mesra. Dia tidak pernah sombong malah siapa sahaja akan dilayannya penuh sopan. Dia tidak mengira pangkat dan darjat dalam pergaulan. Itulah Datin Marini yang baik hati.
Setibanya di luar dia terkejut apabila mendapati seorang gadis sedang duduk di tangga kaki lima Syarikat. Gadis itu tidak menyedari kehadiran Datin Marini. Tubuhnya mengigil menahan kesejukan angin malam yang berhembus agak kencang. Datin Marini menghampiri gadis yang kesejukkan itu. “ Cik, buat apa di sini ? “ Suraya tersentak. Dia berpaling. Wajahnya pucat apabila mendapati Datin Marini berdiri di hadapannya. Dia masih ingat wajah anggun Datin Marini. Serta-merta hatinya diserbu ketakutan. Dia bimbang Datin Marini tidak membenarkan dia menanti di situ. Dia sudah tidak punya tempat untuk dituju. “ Ma…ma…maaf Da…Da..Datin, saya Su…Suraya Ha…Hanom “ Suraya merasakan kerongkongnya tersekat. Dia tidak menyangka akan bertemu Datin Marini di malam hari begitu. Sangkanya semua pekerja sudah pulang. “ Oh ! Suraya, tapi kenapa ada di sini malam-malam ni Suraya masuk kerja lagi dua hari kan “ Datin Marini kehairanan bagaimana gadis manis itu boleh berada di situ. “ Saya …saya baru sampai dari kampung, tak ada tempat tinggal, saya tak tau nak ke mana, saya harap Datin dapat menerima saya awal dari tarikh saya sepatutnya masuk kerja “ Pinta Suraya mengharap. “ Office ni dah tutup malam-malam macam ni Suraya “ Datin Marini tergelak kecil. “ Maksud saya esok Datin “ Suraya cuba menjelaskan walaupun Datin Marini sudah mengerti . Dia hanya berseloroh sahaja. Jauh di sudut hatinya dia gembira bertemu dengan Suraya pada malam itu. “ Kalau macam tu, Suraya bermalam saja di rumah saya, takkan nak tidur di sini bahaya tu, tidur di rumah saya aje ye “ Suraya takut-takut untuk memberi persetujuan.
Baginya bermalam di rumah tuan punya Syarikat besar itu memang jauh dari jangkaannya. Tapi dia terpaksa akur apabila Datin Marini menarik tangannya menuju ke kereta mewahnya miliknya Suraya takut-takut untuk menjejakkan kaki di rumah yang selayaknya dipanggil Villa itu. Seumur hidupnya belum pernah dia masuk ke rumah sebesar dan secantik itu. Datin Marini mempersilakan Suraya masuk. Dia kasihan melihat Suraya yang agak takut- takut untuk melangkah masuk. “ Masuklah Suraya, tak ada siapa-siapa dalam rumah ni cuma saya dengan pembantu rumah saja “ Pelawa Datin Marini. Suraya mengucapkan terima kasih. “ Ya ALLAH syukurlah ada juga tempat berlindung untuk aku malam ni “ Bisik Suraya dalam hati. Perlahan dia melabuhkan punggung di sofa mewah berwarna merah hati. Segalanya serba mewah. “ Untungnya jadi orang kaya “ Bisiknya lagi. Terasa dirinya begitu kecil di dalam Villa mewah milik Datin Marini.
“ Umi ! “ Suraya menoleh ke arah satu suara halus dan nyaring di belakangnya. Seorang kanak-kanak perempuan kecil yang begitu comel meluru dan memeluk Datin Marini. “ Farah , kenapa tak tidur lagi ni “ Datin Marini mencium pipi gebu si comel. “ Arah nggu Umi “ Bicara Farah pelat. Matanya melirik ke arah Suraya yang memerhati. “ Umi, Mama…? ” Farah menunjuk kepada Suraya. Datin Marini terdiam. Dia memandang Suraya yang tersenyum kepada Farah. Farah segera mendapatkan Suraya. “ Mama “ Tercenggang-cenggang Suraya apabila dipanggil Mama. Dia menarik Farah ke sisinya. Pipi Farah diusap-usap lembut. Naluri kewanitaannya tersentuh untuk menyayangi anak kecil itu. “ Farah ye, comelnya “ Pipi anak kecil itu dicium.Dia mengangkat Farah ke ribanya. Farah memeluk Suraya erat.
“ Mama “ Panggil Farah lagi. “ Bukan, bukan Mama …” “ Suraya…please say yes, please… “ Tiba-tiba Datin Marini bersuara. Suraya terkejut dengan permintaan Datin Marini. Tapi apalah sangat permintaan itu dibandingkan dengan budi Datin Marini menumpangkannya bermalam. Suraya memandang anak kecil yang tersenyum penuh harap. “ Farah tak tidur lagi ? “ Rambut kerinting Farah berwarna perang itu di elus lembut penuh kasih. Farah yang sememangnya merindui kasih seorang ibu memeluk Suraya erat. Dia menyangka Suraya adalah Fauzana yang dilihatnya terbaring kaku di katil ketika dia baru berusia tiga tahun. Tambahan rambut Suraya yang panjang mengurai menyerupai ibunya yang telah pergi menghadap Illahi.
Farah masih kecil dan tidak memahami segalanya. Apa yang dia tahu kini ibunya sudah kembali ke sisinya. “ Mama alik , Mama ngan pegi ye “ Airmata Datin Marini merembes membasahi pipi. Dia amat terharu dan pilu dengan perlakuan Farah. “ Ya..Ma..Mama dah balik “ Tergagap-gagap Suraya membalas. “ Farah , pergi tidur sayang, jangan kacau Mama, Mama penat “ Datin Marini mengarahkan Mak Nab pembantu dan pengasuh Farah mengambil Farah yang masih memeluk erat Suraya. “ Na…nak Arah ido ama Mama “ Farah enggan berganjak. Walaupun tangannya di tarik Mak Nab. “ Tak apalah Makcik biar saya tidurkan dia “ Suraya menepuk-nepuk lembut tubuh Farah. Mak Nab memandang Datin Marini. Segera Datin Marini mengangguk. “ Kalau gitu marilah Cik, Makcik tunjukkan bilik Farah “ Suraya bangun mengendong Farah yang melekap di dadanya. “ Farah tidur ye, Mama kat sini ok “ Ujar Suraya membaringkan anak comel itu di katilnya. Farah masih memeluk Suraya. Kerinduannya masih belum terlerai. Dia enggan melepaskan Suraya sehingga dia terlena.
Perlahan Datin Marini menghampiri Suraya. “ Maaf Suraya, Farah rindukan Mamanya, setiap hari dia bertanya bila Mamanya akan balik “ Suraya melepaskan pelukkan Farah perlahan-lahan. “ Mana Mama Farah Datin “ Suraya bertanya. “ Dah meninggal setahun lepas, masa tu Farah baru tiga tahun. “ Datin Marini menyeka butiran airmata. Suraya rasa bersalah bertanya begitu. “ Maafkan saya Datin “ Ujarnya memegang bahu Datin Marini. Dia tidak mahu bertanya lebih lanjut mengenai apa yang terjadi, bimbang Datin Marini akan tersinggung. Datin Marini mencapai tangan Suraya. “ Boleh tak Suraya tolong saya “ Suraya mengerut dahi. “ Tolong apa Datin “ “ Tolong mengaku bahawa Suraya adalah Ibunya “ Sekali lagi Suraya terkejut dengan permintaan Datin. Suraya rasa tidak patut Datin Marini terus membohongi anak kecil itu. Farah harus tahu perkara sebenarnya. “ Bukankah Farah patut tahu perkara sebenarnya Datin “
Datin Marini bangkit menarik tangan Suraya menuju ke sebuah bilik bersebelahan bilik Farah. Dia membuka pintu bilik tersebut. Bilik yang luas dan indah itu diselubungi haruman segar. “ Ini anak saya…Fauzana, ibu Farah “ Datin Marini menunjukkan sekeping gambar berbingkai indah di dinding. Suraya menatap wajah ayu Fauzana. “ Suraya perasan tak wajah Fauzana mirip Suraya, usia kamu berdua pun sama kamu dilahirkan pada tahun, bulan dan hari yang sama “ Suraya rasa Fauzana terlalu cantik berbanding dirinya. Wajah Fauzana seperti gadis kacukan Inggeris sedangkan dia anak Melayu jati. “ Suraya saya harap sangat Suraya dapat menolong saya, saya tak sampai hati untuk memberitahu Farah perkara sebenarnya walaupun Farah belum mengerti apa-apa, yang jelas…hati saya sendiri masih belum dapat menerima kenyataan bahawa Fauzana sudah tiada “ Datin Marini duduk di birai katil milik arwah Fauzana. “ Hati saya hancur bila mengenangkan Fauzana, saya merindui Fauzana, saya rindukan dia Suraya…” Suraya merasa belas melihat Datin Marini. “ Baiklah Datin saya sanggup menolong Datin, tapi Datin mesti menerima kenyataan anak Datin sudah kembali kepada ALLAH “ Datin Marini merasa amat gembira dia memeluk Suraya. Berkali-kali dia mengucapkan terima kasih.
Sesungguhnya Suraya insaf masih ada orang yang sudi menagih kasih darinya. Meski selama ini dia merasakan diri tidak berguna. Hanya mampu menjadi kebencian orang. Suraya sendiri telah kehilangan insan-insan yang disayangi apalah salahnya berbudi pada orang yang terlebih dahulu menabur budi. Suraya bersyukur. “ Boleh saya tahu apa yang terjadi pada Suraya “ Datin Marini mengenggam erat tangan Suraya. Hatinya berbunga riang, setidak-tidaknya rindu pada Fauzana terubat juga dengan kehadiran Suraya. Mulanya Suraya keberatan untuk menceritakan kisah hidupnya lebih-lebih lagi dia lari dari rumah sehari sebelum hari pernikahannya. Namun setelah didesak oleh Datin Marini akhirnya Suraya menceritakan juga segala kepahitan hidup yang dilaluinya selama ini .
No comments:
Post a Comment