Iklan anda..

Wednesday, December 17, 2014

DUNIA CAHAYA BIRU

//www.facebook.com/groups/129896221730/doc/?id=10150264187396731
   Semua kerja sudah selesai. Beres tip-top. Ruang tamu sudah rapi aku kemas.
  Harum semerbak kasturi. Kain baju sudah aku sidai semua. Lantai juga sudah aku mop bersih. Sejak petang tadi aku sudah mula ‘membibikkan’ diri. Sudah beberapa hari ini, rumahku syurgaku ini terbiar lintang pukang tanpa berkemas dek kerana hendak menghabiskan bab terakhir novelku. Rasa lega bila selesai menulis. Novel setebal 400 mukasurat itu mulai aku tulis sejak 2 bulan lepas. Lega hatiku. Siap juga akhirnya. Bukan senang bagi aku untuk menyiapkan manuskrip setebal itu. Ditambah lagi dengan beban kerja di pejabat. Mood menulis pula kadang ada kadang hilang macam biskut ‘Oreo’. Kejap ada kejap tak ada.  ‘ Time’ datang ilham, mencurah-curah macam air hujan. ‘Time’ tak ada ilham memang kering macam musim kemarau.

 Aku mencapai botol Febrez di hujung almari. Baru sahaja aku spray kusyen-kusyen dengan pewangi Febrez, terkedek-kedek pula si debab  Misha melompat naik. Terpusing-pusing seketika sambil kembang kempis hidungnya mencium bau-bauan febrez. Terus sahaja dia landing “baik punye” atas kusyen aku.

            “ Amboi si debab ni dah macam Puteri Pucuk Kelubung ko yea, mana tempat cantik kat situlah ko’ melanding.’.” Ku tepuk-tepuk bontot mugil Misha.

            “ Meowwww…” Misha debab mengangkat kepala. Geram betul dengan si debab ni. Bukan geram marah tapi geram sebab dia comel sangat. Gemuk ‘gendempol’macam Garfield. Tapi muka emmm..memang tak boleh ‘blah’ macam ‘ Beruk Mat Yeh’. Misha memejamkan mata tanpa mempedulikan aku.

            “ Nak tidur tu tidur aje, jangan nak cakar kusyen tu tau..” Aku bersuara sambil menuju ke dapur.

            “ Meowwww..” Eh ! pandai pulak menjawab si debab ni. Suka hati kaulah debab. Aku mencapai mug besar’ gedabak’ yang sentiasa menjadi pilihanku setiap kali ingin menghadap laptop bagi melakar-lakar cerita-ceriti. Aku senduk dua setengah sudu besar Milo, bubuh susu sikit kemudian curah air panas sampai penuh satu mug. Emmm..aromanya yang lazat memenuhi ruang hidung aku. Aku menyanyi-nyanyi kecil sambil menatang mug penuh berisi air Milo menuju ke kamar.

            “ Meowww..” Eh..! Amboi si Ketot pulak tengah sedap menjilat bulu atas katil aku. Seketika si Ketot mengeliat membuat aksi-aksi ‘Extrem’nya. Aku buat-buat tak nampak. Malas aku hendak melayan budak Ketot ni. Kalau dilayan pakai tak siaplah kerja aku. Aku biar Ketot membuat aksi sampai tegang otot. Aku menuju ke meja kerja. Ku buka Laptop kemudian aku hirup sedikit Milo yang masih panas.

            “Aduhhh..! panas melocot mulut aku huhhh…”

            “ Meowwww..” Si Ketot bersuara.

            “ Diamlah Ketot..!” Ketot kembali menjilat-jilat bulu gebunya. Aku ketawa sendiri. Kesian Ketot. Aku berteleku seketika di hadapan Laptop. Batu gemala kepala otak aku ligat berfikir. Rasa-rasanya malam ni kepala aku kosong je. Mana perginya idea yang tadinya melimpah ruah di saat aku sedang berhempas pulas membasuh kain. Apakah sudah terbilas dan terspin bersama kain-kain baju aku tadi.

            Aku mendegus sambil membuka daun jendela. Angin bayu malam menerobos masuk. Segar dan nyaman. Aku kerling jam di dinding. Sudah hampir  pukul 10 malam. Aku tutup kembali daun jendela. Takut pulak kalau-kalau ternampak si Nenek Lampir terbang menenggek atas pagar aku. Huh..Nauzubbilah…malam ni malam Jumaat pulak tu. Otak aku benar-benar kering saat itu. Aku hanya membuka kembali lembaran-lembaran novelku yang baru aku selesaikan dengan tajuk yang tak berapa nak gempak. “ XPDC CINTA LARA AINA”. Kisah pengembaraan mencari sebuah kapal yang diselitkan dengan babak-babak percintaan.

            Aku menguap berkali-kali. Milo di mug sudah separuh aku teguk. Mata terasa mengantuk teramat sangat. Sambil membuka lembaran demi lembaran Novel XPDC CINTA LARA AINA, aku mengkhayalkan rupa paras watak-watak yang aku cipta dalam novel itu. Bermula dari watak utama atau heroinnya si cantik manis Lara Aina. Seorang gadis yang sempurna baik dari segi lahir dan batin. Bukankah wanita atau gadis yang sempurna itu hanya terdapat di dalam novel-novel sahaja. Maka Lara Aina aku gambarkan seperti itu, namun hanya sifatnya kadang kala mewarisi sifat-sifat aku. Aku tak boleh lari dari itu. Ada ketika aku rasa dia adalah aku yang sudah aku ‘repair’ di sana dan sini agar menjadi lebih sempurna.

            Watak  hero yang mendebarkan dalam novel ini adalah Hairie Mustafa Bin Dato’ Hashim. Dia juga telah aku gambarkan sesempurna mungkin sama seperti heroinnya. Dia tinggi, kacak, tegap, tampan, kaya dan segala yang ada pada seorang lelaki sempurna seperti dalam setiap novel-novel di pasaran. Namun aku beri dia sifat sombong sedikit sebagai perencah cerita. Watak-watak lain terdiri dari wajah-wajah teman-teman aku sendiri iaitu Syanie, Laila, Mohan dan Ajip, serta wajah-wajah beberapa celebrity terkenal. Merekalah yang ada di dalam setiap gerak tari jari jemariku ketika mengolah kisah pengembaraan ini.

            Mataku semakin berat. Seakan tidak berdaya hendak ku buka. Rasa pelik juga. Aku bubuh ubat tidur ke, dalam Milo aku ni. Aku merebahkan kepala di meja. Laptop masih terpasang. Rasa tak larat nak bangun untuk mematikan suis. Di saat mataku sudah hampir terlelap. Aku seakan terlihat seperti ada cahaya berwarna biru lembut terpancar dari skrin Laptopku. Aku cuba membuka mata seluas-luasnya untuk memastikan cahaya apakah itu. Namun kelopak mata aku seperti ditarik-tarik agar terus tertutup. Aku kuak kelopak mataku dengan jari. Cahaya itu masih ada malah bertambah terang. Aku hendak bangun untuk menutup suis. Aku meneka-neka sendiri kemungkinan Laptopku mengalami masalah teknikal. Ketika aku cuba bangun dalam keadaan mengantuk yang teramat sangat, tidak semena-mena pula satu pusaran angin yang kuat menerobos dan melucur keluar dari skrin Laptopku.

Aku betul-betul terkejut. Apakah makna semua ini…? Angin apakah itu. Bulu romaku mula meremang. Aku mengigil ketakutan. Fikiranku membeku. Aku cuba untuk mencari-cari punca keadaan ini. Namun belum pun sempat untuk aku berfikir dari manakan ia datang, pusaran angin itu telah menarik aku ke dalam cahaya biru terang itu. Aku tidak mampu untuk menahan kekuatan angin itu. Aku berputar-putar di dalam cahaya biru misteri itu seketika mataku terus terlelap… Sehinggalah…..

            *****************************************************************




            Aku membuka mataku apabila terasa tubuhku digoyang perlahan. Kelat rasanya kelopak mata hendak terbuka. Sejurus mataku terbuka, aku lihat ada cahaya terang di atas syiling.

            “ Lara…bangunlah cepat kang kena tinggal pulak kita ni…” Aku sedikit tersentak mendengar suara itu. Suara yang memang biasa aku dengar. Suara sahabatku Syanie. Pantas aku bangkit. Mataku terbeliak memandang Syanie. Laila juga ada di situ.

            “ Korang buat apa kat rumah aku ni, macam mana korang masuk, bila korang datang..” Soalku bertubi-tubi. Syanie dan Laila ketawa serentak.

            “ Kau ni Lara tak habis-habis mengigau, rumah apanya..kita kat hotel ni..”

            “ Hah…? Hotel apa…?” Aku kalut.

            “ Kita kat Fhilipina ni, baik kau bangun cepat sebelum aku simbah kau dengan air biar kau sedar dari mengigau tu..”  Fhilipina…? Apa dah jadi ni…???? Bila pula aku ke sini. Bukankah tadi aku di rumah menghadap Laptop bersama secawan besar Milo dan si Ketot yang enak menjilat bulu di atas katil aku.

            “ Lara..!” Syanie menjerit. Aku terpaku. LARA..????? Aku binggung, kalut tak mengerti apa yang terjadi sebenarnya. Tiba-tiba aku teringat pada pusaran angin dan cahaya biru lembut yang muncul dari skrin Laptopku. Apakah cahaya dan pusaran angin itu yang telah memindahkan aku ke sini. Memindahkan aku dari duniaku ke “ DUNIA LARA AINA” Kalau benar begitu pasti watak-watak lain yang telah aku cipta berada di sini. Pantas aku bangkit dari katil lalu terus membuka pintu.

            Owhhhh…!!!! Terkesima aku. Beberapa watak yang aku cipta berada di luar kamar. Encik Adli, Mike, Ajib dan Mohan juga ada. MasyaAllah..!!! Benar dugaanku. Aku telah di bawa masuk ke dunia imaginasi aku sendiri. Dunia novelku. Aku cuba bertenang. Aku tutup pintu kamar perlahan dan beristigfar berkali-kali. Syanie dan Laila memandang hairan. Aku terus menuju ke kamar mandi. Aku tahu benar selok-belok kamar itu, kerana akulah yang mengambarkan setiap suasana di situ. Pantas aku capai tuala mandi. Pintu kamar mandi aku buka. Perlahan aku menuju ke cermin. Dengan lafas Bismillah aku angkat wajah memandang cermin.

            MasyaAllah..!!! Sekali lagi aku terkedu tatkala melihat wajahku di cermin. Aku sudah bertukar rupa menjadi Lara Aina, si cantik manis itu. Raut wajah yang sering aku gambarkan. Lara Aina berwajah seperti aku, namun sudah aku ‘repair’ di sana sini agar dia menjadi sempurna. Aku sentuh rambut panjang mengurai yang ikal mayang. Aku sentuh kulit pipi yang gebu. Mata yang cantik serta beralis lentik aku kerdipkan berkali-kali. Aku berpusing-pusing melihat image tubuhku yang langsing dan tinggi seperti model.

            “ Ya Allah, susah nak percaya…” Bisikku. Andai benar ini semua mimpi, akan aku nikmati ia selayaknya sebuah anugerah. Kerana sebelum ini aku juga sering mengimpikan untuk menjadi Lara Aina. Watak imaginasiku sendiri. Aku terlalu inginkan sebuah kehidupan lain. Aku benci menjadi diri sendiri. Aku ingin cantik, sempurna seperti Lara Aina. Aku tidak mahu menjadi diri aku kerana aku punya banyak kekurangan. Kini aku diberi kesempatan itu. Aku cepat-cepat mandi dan bersiap seperti Lara Aina. Aku ingin sekali bertemu Hairie. Aku pasti dia ada di sini. Sungguhpun perasaanku masih keliru dan was-was, namun aku tetap cuba berlagak seperti biasa. Seperti seorang Lara.

            Selesai bersiap aku menuruti langkah Syanie dan Laila turun ke lobi hotel. Namun aku tidak pasti aku kini berada di dalam bab ke berapa. Akibat kekeliruan aku tidak dapat mengingat dengan baik akan babak-babak dalam setiap bab dinovelku.

            “ Syanie, kita dalam bab ke berapa sekarang ni yea…?”

            “ Apa…?”

            “ Errr…maksud aku, kita nak ke mana lepas ni yea…” Aku membetulkan ayat agar Syanie tidak curiga.

            “ Tak habis lagi ke mengigau kau tu Lara, kita nak ke Boracay ni nak cari petunjuk seterusnya…faham Cik Lara…?” Aku mengangguk-angguk. Baru aku mengerti kini aku di dalam bab 3. Aku menarik nafas dalam-dalam. Aku akan terus mengikuti episod ini. Episod dan babak-babak ciptaanku sendiri. Ketika kakiku menjejaki lantai lobi hotel, mataku terus terpaku pada seseorang yang sedang berurusan dengan penyambut tetamu di bahagian ‘reception’. Dadaku berdebar kencang. Adakah dia pemegang watak heroku. Dia yang selalu bermain di dalam fikiranku selama 2 bulan ini. Dia yang selalu aku khayalkan. Tanpa aku sedari kakiku melangkah menghampirinya. Ya Tuhan…! Memang benar dialah lelaki sempurna yang aku cipta. Dia sememangnya sempurna sama seperti yang aku khayalkan. Tidak sedikit pun ada kelainan pada dirinya. Memang dialah HAIRIE MUSTAFA yang aku cipta. Saat itu aku rasa hendak sahaja menjerit dan melompat gembira. Siapa sangka aku benar-benar dapat bertentang mata dengan watak hero ciptaanku sendiri. Huhuhu…

            “ Hah…! Kenapa awak ni ada masalah ke…? Tiba-tiba dia bersuara mendatar. Lenyap seketika kegembiraanku tadi. Aku mulai mengelabah. Sama macam Lara.

            “ Errr…tak ada apa-apa, saya nak pulangkan kunci ni…” Balasku. Dia mengambil kunci di tanganku tanpa berkata apa-apa. Ternyata dia memang benar-benar sombong. Hairie berlalu tanpa memandangku.

            “ Sombong ‘giler’lah mamat ni, menyesal pulak aku cipta kau sesombong ni…” Bisikku perlahan.

            “ Apa awak cakap…?” Terkejut aku. Dia dengar rupa-rupanya. Cepat-cepat aku berlalu sebelum tembelang aku pecah. Seorang lelaki muncul di muka pintu hotel. Aku tahu dia siapa. Dia juga salah satu watak yang aku cipta.

            “ Hai Mike…” Sapaku.

            “ How do know my name…?” Oppsss…alamak, apa aku ni. Aku sepatutnya ikut dialog dan jalan cerita.

            “ Errr…errr…owh, your tag…I knew from that…” Pantas aku menunjuk ke tanda nama yang tersemat di beg sandangnya. Fuh…! Nasib baik ada alasan.

            “ Owhhh…that’s right…” Ujar Mike. Aku cepat-cepat berlalu dan berharap semuanya akan lancar mengikut jalan cerita. Setelah itu semuanya berjalan sesuai seperti jalan cerita di bab 3.  Watak Hanes dan Zahara juga ada sesuai dengan apa yang aku gambarkan. Setelah menaiki pesawat ringan kami akhirnya sampai ke Bandar Caticlan. Seterusnya kami menuju ke jeti untuk ke Boracay. Ketika berada di atas jeti ini, aku sepatutnya tersandung papan jeti dan hampir terjatuh tapi dapat disambut oleh Hairie. Aku melihat-lihat papan jeti apakah ada kayunya yang terjongket yang boleh menyebabkan aku tersandung. Susah juga hidup di dalam alam ciptaan sendiri ni. Tiba-tiba…” Kelepukkkk…” Adoi mak kepala aku terhantuk tiang. Sakitnya. Berpinar-pinar mataku. Ehhhhh…! Aku tidak dapat mengawal diri lalu terlanggar Hairie dan…

            “ Boleh tak awak bangun sekarang…?” Alamak…rosak episode aku. Macam manalah aku boleh jatuh terduduk atas badan Hairie ni.

            “ Errr…maaf encik…” Cepat-cepat aku bangun sambil menahan rasa malu. Aku mula ditertawakan oleh teman-teman. Aduhai…apa sudah jadi, ini semua tak ada dalam jalan cerita aku. Setelah itu aku lebih berhati-hati bila aku sedari tidak semua perkara terjadi seperti yang aku tulis. Kadang-kadang jadi tonggang terbalik pula. Aku merasa lega apabila kejadian-kejadian yang terjadi selepas itu sesuai dengan jalan cerita yang aku tulis. Sehinggalah aku masuk ke bab 4 pula. Kami benar-benar menuju ke Pulau Iling-Iligan untuk mencari cebisan peta dan scroll seperti yang aku tulis. Keindahan Pulau ini memang sangat mempesonakan. Sama seperti di dalam gambar yang aku lihat dan aku gunakan sebagai bahan rujukkan.  Gua, kelawar dan kesemua pengembaraan hari ini aku lalui seperti yang aku tulis.

            Selesai sudah satu lagi episode hari ini. Aku berbaring-baring santai di atas katil. Suasana di Pantai White Beach Boracay ini agak meriah. Namun kerana kepenatan aku malas untuk menikmatinya. Syanie dan Laila masih menghadap Laptop masing-masing. Aku kerling jam di dinding. Sudah hampir pukul 11 malam. Kalau diikutkan dalam episode ini berlaku satu perkara yang menjadi salah satu tarikkan dalam novelku ini. Lara akan bergaduh dengan Hairie, kerana dia menyangka Hairie cuba merogol Hanes. Sedangkan Hanes itu adalah anak kepada Hairie dan Lara salah sangka ketika melihat Hairie memujuk Hanes di tepi pantai. Hairie juga sebenarnya seorang duda yang mempunyai seorang anak gadis berusia sekitar 12 tahun. Aku cuba untuk melangkaui episode itu. Aku mengambil keputusan untuk tidak mahu keluar dari bilik hotel. Aku berdiri di jendela melihat malam di White Beach. Suasana sudah agak lenggang. Tiba-tiba aku terdengar suara anak kucing mengiau. Aku melihat ke bawah ternyata anak kucing itu terjatuh di dalam longkang. Pantas aku meluru keluar untuk menyelamatkan anak kucing tersebut.

Aku tiba di bawah. Aku mencari-cari anak kucing tadi. Tapi ternyata anak kucing itu sudah tiada. Tidak semena-mena tangan aku ditarik seseorang. Aku terkejut.

            “ Encik Hairie…!”

            “ Ikut saya…” Hairie terus menarik aku hingga ke tepi pantai. Aku benar-benar terkejut. Kejadian ini tidak ada dalam novelku. Lain yang aku tulis lain pula yang aku alami. Kami berada agak jauh dari hotel.

            “ Encik nak apa…?” Soalku kalut.

            “ Saya tahu siapa awak…” Sekali lagi aku terkejut dengan kata-kata yang keluar dari mulut pemegang watak ciptaanku ini.

            “ Maksud encik…?”

            “ Awak bukan Lara, awaklah pencipta Lara, sama seperti awak mencipta saya…” Kata-kata Hairie benar-benar satu tamparan buatku. Bagaimana dia tahu…Aku terkedu tanpa bicara.

            “ Amira…itu nama awak bukan…?” Jantungku semakin laju berdetak. Siapa Hairie sebenarnya. Kenapa dia boleh tahu kenyataan ini.

            “ Macam mana awak tahu semua ni…?” Soalku.

            “ Kerana saya selalu ada di fikiran awak Amira…”

            “ Mustahil…!” Jeritku panik.

            “ Tak ada yang mustahil di dunia ini, Allah itu maha berkuasa, Dia berhak berbuat apa saja…kemunculan awak ke sini juga atas izin dariNya…” Aku terpaku. Tiba-tiba ada sinar terang muncul di atas air di pinggir pantai. Sinar itu berwarna biru. Besar dan terang. Seperti ada magnet di sinar itu yang membuatkan aku melangkah ke arahnya. Tetapi…

            “ Awak tak boleh pergi Amira…!” Hairie menarik dan mengenggam erat lengganku. Aku cuba melepaskan diri. Namun Hairie memegang kuat tanganku.

            “ Saya kena balik Hairie, dunia saya bukan di sini…tapi di sana di sebalik cahaya biru itu…dunia yang nyata bukan imaginasi…” Hairie masih tidak mahu melepaskan tanganku. Cahaya biru itu semakin mengecil. Aku sedar jika aku tidak melompat masuk ke dalam cahaya itu ia pasti akan lenyap, dan aku akan terus terperangkap di dunia imaginasi aku ini.

            “ Amira…saya cintakan awak…!”

            “ What…??? Aku terkejut dengan pengakuan Hairie. Mustahil…

            “ Hairie awak ada Lara, dia yang sepatutnya awak cintai sesuai dengan tulisan saya..bukan saya, saya cuma pencipta watak-watak di dalam dunia imaginasi saya…awak watak dalam imaginasi saya…awak tak mungkin dan tak akan boleh jatuh cinta dengan saya…dunia kita berbeza dan awak tak wujud pun sebenarnya…” Cahaya biru semakin mengecil.

“ Saya wujud Amira…saya ada di fikiran awak dalam ingatan awak, itulah yang membuatkan saya wujud…cinta saya pada awak bukanlah imaginasi awak…cinta saya benar-benar wujud…!”

“ Mustahil…cinta itu untuk Lara Aina bukan untuk Amira…lagipun saya yang sebenarnya tidak secantik Lara, saya tidak sesempurna Lara…saya banyak kekurangan…!” Aku menolak Hairie sekuat hati sehingga peganggannya terlepas.

“ Kalau begitu awak tinggal saja di sini supaya awak terus cantik dan sempurna Amira…di sini di dunia imaginasi awak, lupakan dunia nyata…hiduplah bersama saya…!”

“ Tak boleh, saya tak boleh hidup dalam dunia yang sebenarnya tak wujud…awak hanya imaginasi saya Hairie…awak tak wujud…!” Aku terus berlari ke arah cahaya biru itu.

“ Tolonglah Amira, saya merayu tolong jangan pergi…jangan tinggalkan saya…hiduplah dengan saya di sini kita akan bahagia untuk selama-lamanya…” Hairie kembali meraih tanganku.

“ Hairie…saya akan mati kalau saya terus tinggal di sini…”

“ Amira…hanya kematian itulah yang boleh menyatukan kita…” Aku cuba menarik tanganku. Sementara cahaya biru sudah semakin mengecil.

“ Awak gila Hairie, atau mungkin saya yang dah gila…lepaskan saya Hairie saya nak balik…!” Pegangan Hairie semakin kejap. Malah kini dia sudah memeluk aku dengan kuat sehingga aku tidak mampu melepaskan diri. Cahaya biru sudah semakin pudar. Aku beristigfar dalam hati. Dengan sekuat hati aku laungkan nama Allah yang Maha Besar.

“ Allahuakbar…!” Serentak dengan itu pelukkan Hairie terlepas. Dia terdorong ke belakang dengan sendirinya.

“ Hairie maafkan saya kerana sudah melakar awak di dalam fikiran saya…saya berjanji untuk melupuskan watak awak dari fikiran saya Insyallah…”



“ Amira…jangan tolong jangan buat macam tu…Amira saya sayangkan awak…!” Aku pandang Hairie buat kali terakhir lantas aku berpaling dan terus melompat ke dalam cahaya biru.

  


Aku cuba membuka mataku. Terasa ada sesuatu di atas badanku. Berat dan berbulu.

“ Meowwww…” Rupa-rupanya si Ketot dan si debab Misha sedang berbaring di atas badanku. Aku pandang keliling. Ternyata aku berada di dalam bilikku. Perlahan aku bangkit. Kepalaku pusing. Aku pandang Laptop yang masih terpasang. Ada sesuatu tertulis di skrin. Cepat aku bangun untuk membacanya.

“ SAYA AKAN TERUS MENCINTAI AWAK HINGGA KE AKHIRNYA”…HAIRIE

Cepat-cepat aku tutup suis. Aku terduduk di birai katil. Aku masih tidak pasti apakah yang aku alami ini hanya sekadar mimpi atau memang benar dunia imaginasi aku wujud. Adakah Hairie juga memang benar-benar wujud.

“ Saya wujud di dalam fikiran dan ingatan awak Amira…” Masih jelas terngiang-ngiang di telinga kata-kata Hairie tadi. Aku menarik nafas dalam-dalam. Jam sudah menunjukkan ke pukul 6 pagi. Aku terus ke kamar mandi bersiap untuk solat Subuh. Aku ingin meminta ampun dariNya kerana selalu merasa diri ini tidak sempurna dan selalu ingin menjadi orang lain. Sedangkan apa yang dianugerahkanNya kepadaku sudah lebih dari cukup. Aku sahaja yang sering tidak puas hati dengan diri sendiri. Setiap kejadian ada Hikmah dan pengajarannya. Selepas ini aku berjanji untuk selalu bersyukur di atas segala nikmat Allah untuk aku.

Wallahhua’alam……Tidak ada yang mustahil di dunia ini.









           

No comments:

Post a Comment