Iklan anda..

Sunday, December 14, 2014

NGERI

//www.facebook.com/groups/129896221730/doc/?id=10150264187396731



                                                                     
              Zack menekan-nekan pedal minyak keretanya berkali-kali. Berderum-derum bunyi enjin kereta BMW model terbarunya. Beberapa mata melirik ke arah kereta Zack. Beberapa orang gadis manis berpakaian seksi yang sedang berdiri di pintu masuk kelab juga menoleh memandang Zack. Kembang kuncup hidung Zack menahan gelora rasa melihat kegenitan gadis-gadis itu. Zack sempat mengenyitkan mata sambil disambut oleh senyum seksi menawan. Zack sedikit tersentak apabila pintu kereta berdentum ditutup.

“ Wei..terkejut aku..!” Bentak Zack. Chandra di sisi tergelak besar.

“ Mana tak terkejut, kalau mata tu asyik terkenyit-kenyit macam monyet kena belacan..” Sindir Chandra. Zack mendegus. Kereta terus dipandu laju.

“ So what's up bro..macam mana..?” Zack bersuara setelah kereta memasuki Jalan Raya utama.

“ Settle, beres diorang tengah tunggu kita “ Jawapan Chandra melegakan Zack. Zack membelok ke sebuah stesen minyak Petronas. Minyak harus diisi penuh. Perjalanan kali ini agak jauh, ke Bentong Pahang. Chandra membeli sedikit “ snek “ dan beberapa botol air mineral. Chandra membuka pintu kereta sambil bersiul riang. Di matanya sudah terbayang akan lambakkan wang yang bakal mereka terima.

“ Next week aku nak ‘ enjoy ‘ kat Phuket..arghhh..syurga dunia..” Bisik Chandra sendiri. Dia tersengih-sengih macam kerang busuk sambil menanti Zack selesai mengisi minyak.

“ Hah..dah kenapa ni senyum-senyum sendiri..?” Sapa Zack sambil melirik ke arah Chandra.

“ Duit bro…duit…” Balas Chandra. Zack ikut tersenyum sambil mengeleng-geleng kepala. Kereta dipandu keluar menuju terus ke Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Bentong. Mereka akan melalui Lebuh Raya Karak. Satu perjalanan yang panjang dan jauh. Namun kerana duit mereka langsung tidak berkira. Malahan semangat mereka semakin berkobar-kobar. Tambahan pula mereka sedang dinanti oleh gadis-gadis genit yang biasa mereka langgan apabila mereka ke sana. Kebanyakkannya gadis Thailand. Gebu dan menawan. Sesuai selera buaya mereka berdua.
            Ketika memasuki Lebuh Raya Karak, senja sudah berlabuh. Suasana remang semakin gelap. Rintik-rintik hujan mulai menitik di cermin kereta. Zack memandu dengan tenang. Suara Azan Maghrib berkumandang di Radio Era. Zack mendegus. Dia menekan chanel lain. Namun suara Azan masih berkumandang di Radio RTM.

“ Bodoh..!” Bentak Zack. Dia mematikan radio. Chandra di sisi tersengih-sengih.

‘ Hantu kau, Azan pun kau tak mahu dengar..” Usik Chandra. Zack mendegus keras.

“ Kau jangan sibuklah..!” Marah Zack.

“ Bila mau sembahyang, tak takut Tuhan ke..” Usik Chandra lagi.

“ Kau tu sembahyang ke..?” Soal Zack pula. Chandra ketawa kuat.

“ Aku muda lagilah Chandra, sekarang masa untuk aku ‘enjoy’, kalau sekarang aku sibuk nak sembahyang, rugilah bro..bila aku nak ‘enjoy’..” Chandra mengangguk-anggukkan kepalanya tanda bersetuju dengan kata-kata Zack. Chandra akui akan kehebatan Zack. Samada dalam menjalankan tugas atau ketika berfoya-foya. Zack seorang pemuda yang kacak. Koceknya pula tidak pernah kering, sentiasa berisi penuh. Aset-aset yang ada pada Zack menjadikan dia Pria rebutan.

            Zack pula umpama buaya yang sentiasa kelaparan. Tidak pernah mengira yang mana bangkai yang mana bukan. Semua diratahnya. Semua dilapahnya. Halal haram tiada erti langsung padanya. Hukum hakam sudah lama ditolak tepi. Zack hidup berpandukan kata hati dan berajakan nafsu serakah. Bagi Zack itulah maknanya sebuah kehidupan. Wang dan perempuan, tonggak utama hidup Zack.



                                                   KELIBAT



            Setelah berhenti rehat di R & R, Zack dan Chandra kembali meneruskan perjalanan. Jam hampir menunjukkan ke angka 12 malam. Gerimis masih lagi menemani perjalanan mereka. Chandra menguap beberapa kali. Tidak banyak kenderaan yang melalui Lebuh Raya itu di waktu-waktu sebegini. Sekali sekala mereka berselisih dengan lori-lori balak. Bukan tidak pernah Zack menengar cerita-cerita seram mengenai Lebuh Raya Karak. Namun Zack langsung tidak mempercayainya. Sudah berpuluh kali dia dan Chandra memandu di Lebuh Raya Karak tidak kira siang atau malam, namun belum pernah mereka terserempak atau terjumpa dengan perkara-perkara aneh seperti yang selalu diceritakan oleh orang-orang.

“ Zack aku nak tidurlah ngantuk sangat ni..” Chandra  membetulkan jaket yang dipakainya. Penghawa dingin kereta Zack benar-benar membuat dia mengigil kesejukkan.

“ Emmm…tidurlah..” Balas Zack sepatah. Dia tidak kisah memandu sendiri tanpa teman bicara. Dia lebih senang melayan perasaan membayangkan keindahan meniduri gadis-gadis Thailand itu nanti. Setelah puas meratah gadis-gadis tersebut, barulah gadis-gadis itu akan di bawa ke Ibu Kota untuk dilacurkan. Zack tersenyum puas. Sudah bertahun dia menjalankan perniagaan yang menguntungkan ini. Selain mengedar dadah, permerdagangan manusia juga memberi pulangan yang cukup lumayan.

Zack menguap. Tangannya pantas mencapai CD kegemarannya. Sewaktu memasang CD player Zack terkejut. Dia terlihat satu kelibat berwarna putih melayang di hadapan keretanya. Berderau darah Zack. Niat di hati mahu mengejutkan Chandra yang lena tidur. Tetapi tidak jadi, kerana Zack pasti Chandra akan mentertawakannya. Zack terus memandu. Matanya meligas ke kanan dan kiri. Bimbang kalau-kalau kelibat putih itu tiba-tiba menerjah. Setelah beberapa ketika, tiada apa yang terjadi.

“ Perasaan aku aje kut..” Bisik Zack sendiri. Dia kembali memandu dengan tenang. Kereta melewati kawasan bukit bukau yang berjurang. Walaupun keadaan gelap namun Zack sudah biasa dengan selok belok di Lebuh Raya itu. Tiba-tiba Zack dikejutkan dengan satu hentaman di bumbung keretanya. Sesosok lembaga putih berambut panjang melompat dan bertenggek betul-betul di hadapan cermin kereta Zack.

“ Arghhhhh..!!!!” Zack menjerit. Dalam kelajuan 130km/jam itu Zack tidak dapat mengawal keretanya. Lantas terbabas melangar besi penghadang jalan. Kereta Zack terus menjunam dan terbalik berkali-kali hingga ke bawah jurang. Seketika suasana kembali sepi.

            Sinar matahari berserakkan di celahan rimbunan dedaun. Mencuba menyinari hutan. Namun sinar itu tidak cukup untuk menerangi dasar hutan yang terlalu tebal itu. Suasana redup, dingin dan menyeramkan. Zack membuka matanya perlahan. Sakit dan bisa dirasakan di seluruh tubuh. Seketika mata Zack terkebil-kebil. Cuba mengingat-ingat akan apa yang telah terjadi. Dia menoleh perlahan ke sisi.

          “ Chandra.!!!” Zack terkejut melihat keadaan Chandra yang sudah kaku tidak bernyawa. Mayat Chandra kelihatan sangat mengerikan. Matanya membuntang terbeliak. Mulutnya ternganga besar. Darah merah yang sudah bertukar kehitam-hitaman bertepek-tepek menyaluti tubuh Chandra. Dahinya berlubang menampakkan isi yang berwarna merah kehitaman berketul-ketul. Bau hanyir yang meloyakan memenuhi segenap ruang. Zack termuntah-muntah. Dia cuba menolak tubuhnya keluar dari kereta yang sudah remuk itu. Namun..

           “ Arghhhh.!!” Zack terjerit kesakitan. Sebatang kayu runcing menembusi pehanya. Zack mengetap bibir. Kayu yang menembusi pehanya itu ditarik sekuat hati.

          “ Arghhhhhhh..!!!!” Jeritan Zack bergema menakutkan burung-burung yang berkicauan mencari makan. Lantas bertebaran beburung itu terbang menghilang. Tubuh Zack mengigil menahan bisa dan kesakitan yang teramat sangat. Di dalam kepayahan Zack berjaya juga menyusur keluar dari keretanya. Zack memandang ke atas. Mencuba mencari-cari jalan keluar. Namun hanya pokok-pokok kayu balak dan daun-daun pokok yang merimbun sahaja melatari pandangan. Malah tiada satu pun suara enjin-enjin kenderaan yang kedengaran.

“ Dalam sangat jurang ni..” Bisik hati Zack. Zack memandang sekeliling. Zack mengambil keputusan untuk menyusur hutan bagi mencari bantuan. Dia cuba berdiri. Namun bisa yang dirasakan akibat tusukkan kayu di pehanya membuatkan Zack terduduk semula. Zack tidak mampu berdiri sama sekali. Dia hanya mampu merangkak di dalam kesakitan dan kepayahan. Zack merangkak menyusuri akar-akar dan banir pokok. Darah merah segar mengalir laju dari celahan lukanya. Zack mengoyakkan sebahagian bajunya untuk dibuat pembalut luka.

            Sudah semakin jauh Zack merangkak menyusuri hutan. Kereta yang remuk serta mayat Chandra yang membusuk sudah tidak kelihatan lagi. Zack terus merangkak menyelusuri hutan dengan harapan akan bertemu dengan orang. Namun Zack hampa. Seharian dia merangkak menyusuri lantai hutan, seorang manusia pun tidak ditemuinya. Zack sudah keletihan tidak bermaya. Dia berbaring di banir pokok. Tidak ada satu makanan pun yang masuk ke perutnya seharian itu. Jangan kata hendak menangkap haiwan untuk dijadikan makanan. Hendak berdiri sahaja dia tidak mampu.

            Tiba-tiba mata Zack terpandang sesuatu di hujung banir pokok. Zack mengamat-amati benda itu. Ternyata itu adalah bangkai seekor monyet yang sudah agak busuk. Zack mendekati bangkai monyet itu. Zack menekup mulutnya. Bau bangkai itu sangat busuk dan meloyakan menyebabkan Zack hendak termuntah. Zack kembali bersandar di banir pokok. Namun hatinya berkata-kata.

           “ Aku kena makan sesuatu, kalau tidak aku tak ada tenaga nak teruskan perjalanan..aku tak mahu mati dalam hutan ni, aku mesti keluar dari sini..” Matanya memandang tajam ke arah bangkai monyet tersebut. Dia berbelah bahagi. Samada mahu menurut kata hatinya atau…mati kebulur. Perlahan Zack mendekati kembali bangkai monyet yang busuk itu. Zack menarik secebis daging bangkai itu. Tiba-tiba Zack terbelahak muntah. Zack menguatkan semangat. Dia memejamkan mata. Cebisan daging bangkai tadi dimasukkan ke dalam mulutnya. Tanpa mengunyah, Zack terus menelan daging bangkai tersebut. Dia menarik beberapa cebis lagi daging bangkai itu lalu menelannya. Zack menahan rasa loya lalu merangkak meninggalkan bangkai itu.

            Suasana semakin gelap. Dalam kepayahan menyeret kakinya yang sudah membengkak itu, Zack akhirnya sampai di tepi jeram. Tanpa berlengah lagi Zack terus minum air jeram sepuas-puasnya. Zack terduduk di batu jeram. Bisa luka semakin berdenyut-denyut. Kain pembalut luka ditanggalkan perlahan. Zack menyeringai menahan sakit.  Daging pehanya sudah terburai keluar dari celahan lubang luka.Zack mengikat kembali lukanya. Tidak sanggup dia melihat keadaan kakinya itu. Zack berkira-kira apakah kakinya mampu diselamatkan jika dia keluar dari hutan itu. Zack merasa sedih dan sayu. Mimpi ngeri apakah yang sedang menimpanya ini.

           

Mana wangnya yang berjuta. Mana teman-teman yang selalu menemani di saat-saat gembiranya. Mana gadis-gadis cantik, montok dan gebu yang sering diigaukannya. Di dalam saat seperti sekarang ini semua itu sudah tiada makna bagi Zack. Dia sendirian di hutan itu. Sendiri menanti maut yang datang menjemput. Zack menekup wajahnya. Dia menangis teresak-esak. Sebuah penyesalan mula menerjah di sanubarinya. Pada siapa harus dia meminta pertolongan di dalam hutan belantara seperti itu. Pada siapa..? Hendak menadah tangan meminta pada yang Maha Esa, dia merasa malu. Selama hidupnya dia telah menjauhi Allah S.W.T. Tidak pernah sekali pun dia sujud kepada Maha Pencipta itu. Zack menangis dan terus menangis.

Tiba-tiba di dalam remang-remang suasana. Zack terlihat kelibat seorang lelaki sedang berdiri menghadap jeram. Jarak dia dengan lelaki itu berdiri hanya beberapa meter sahaja. Zack dapat melihat dengan jelas sesosok tubuh lelaki itu. Berderau darah Zack. Dia seperti mengenali lelaki itu dari bentuk tubuhnya.

“ Chandra..” Bisik Zack sendiri. Zack bangkit. Niat hatinya mahu mendekati lelaki itu. Namun dia merasa was-was.

“ Chandra dah mati, tak mungkin dia masih hidup..” Zack bersuara perlahan.

“ Siapa dia..?” Soal Zack sendiri. Tiba-tiba lelaki itu memalingkan wajahnya ke arah Zack. Zack terpaku. Lemah lututnya. Zack cuba hendak lari.

“ Zackkkk…!!!” Suara lelaki itu bergema memanggil nama Zack. Wajahnya ngeri dengan mata yang sudah terlopong, sementara dahinya dan sebahagian tempurung kepalanya sudah terkopak. Darah berwarna hitam membuak-buak keluar dari lubang kepalanya.

“ Arghhhh!!!!” Zack menjerit ketakutan melihat hantu Chandra di hadapannya.

“ Zackkkkk…bilaaaa mauuuu sembahyangggg..Zackkkk !!!” Suara hantu Chandra bergema lagi memenuhi ruang hutan. Zack ketakutan. Dia mengheret kakinya meredah hutan. Suara ketawa hantu Chandra semakin hampir.

“ Zackkkkk…bilaaaa mauuu sembahyanggggg Zack..!!!”  Zack menoleh ke belakang. Hantu Chandra sudah mulai menarik lehernya.

“ Arghhhh…pergiiiii..jangan kacau akuuuuu..!!!!” Teriak Zack. Kaki Zack tersangkut akar. Dia tersembam jatuh. Kepalanya terhempas ke batu. Zack pengsan tidak sedarkan diri. Hutan kembali sepi.

Zack tersedar. Dia meraba kepalanya yang sakit berdenyut-denyut. Zack memandang sekeliling. Hantu Chandra sudah tiada. Suasana agak kelam. Zack tidak pasti berapa lama dia sudah pengsan. Di dalam kesakitan Zack bangkit. Dia merangkak menuju ke jeram. Zack minum dan membasuh mukanya. Badannya sudah lemah tidak berdaya. Ketika itu dia sudah pasrah. Jika nyawanya akan tamat di hutan itu dia redha. Dalam keadaan lemah dan mengigil Zack akhirnya menadah tangan juga memohon kepada Allah. Lama dia cuba menyusun ayat. Dia tidak tahu bagaimana harus memulakannya.

“ Ya Allah Ya Tuhanku…Tuhan yang Maha Agung…Tuhan yang telah lama aku lupakan, maafkan aku Ya Allah, Ampunkan aku Ya Allah..aku manusia keji, penzina, pendosa..akulah raja maksiat..namun saat ini aku meminta hidayahMu..berilah keampunanMu kepada aku Ya Allah..aku bertaubat kepada Mu, dari segala dosa yang telah aku lakukan…aku bertaubat Ya Allah…!” Zack menangis semahu-mahunya. Luntur semua kejahatannya. Dia benar-benar ikhlas. Zack akhirnya tertiarap lemah tidak bertenaga. Nafasnya juga kian lemah. Hanya Kalimah Allah yang mampu disebutnya. Zack tertidur lagi.

“ Encik…encik.encik..” Zack terasa bahunya digoyang. Perlahan Zack membuka mata. Dua orang lelaki mencangkung di hadapannya. Zack tidak bersuara. Matanya hanya terkebil-kebil memandang wajah lelaki-lelaki yang tidak dikenalinya itu.

“ Encik..encik luka teruk ni, mari ikut kami balik nanti kami hantar encik ke klinik..” Ujar salah seorang dari lelaki tersebut. Mereka memapah Zack yang tidak bermaya.

“ Awak siapa..?” Sempat juga Zack bertanya.

“ Kami orang asli di sini, kami sedang mencari petai bila kami terjumpa encik tadi..” Balas lelaki itu.

“ Dua hari lepas kami dengar bunyi letupan di sini, kami beritahu polis..mereka jumpa satu kereta ada mayat dalam kereta tu..mayat tu sudah hangus terbakar..” Jelas lelaki berkenaan.

“ Itulah tempatnya encik, kereta tu pun masih di situ..” Tunjuk lelaki itu. Zack menoleh ke arah tempat yang ditunjuk oleh lelaki itu. Zack lihat sebuah kereta yang sudah hangus rentung. Tidak semena-mena lelaki tadi membongkok mengutip sesuatu.

“ Ni serpihan nombor plat kereta ni agaknya..” Zack mengambil plat kereta itu. Pandangan Zack berpinar-pinar. Nombor plat itu adalah miliknya. Kalau begitu selama dua hari dia merangkak menyelusuri hutan belantara itu, rupa-rupanya dia tidak ke mana-mana. Dia hanya berlegar-legar di kawasan itu sahaja, bersama mayat Chandra. Zack menangis dan terus menangis. Dia mahu menganggap semua itu cuma mimpi, namun kenyataannya itulah yang dialami Zack. Itu bukan mimpi tapi kenyataan yang teramat-amat “ NGERI”.

Mati itu pasti. Mati tidak mengira usia. Taubat itu pula sentiasa terbuka bagi hamba-hambaNya. Bertaubatlah sebelum terlambat. Jangan sampai sudah terhantuk baru terngadah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.


              …………Tamat…………..

No comments:

Post a Comment